Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 2) SURAH AL-BAQARAH, AYAT 180-182

HUKUM WASIAT DALAM ISLAM.. BAGAIMANA JIKA WASIAT BERAT SEBELAH, TIDAK ADIL?.. ATAU ADA CUBAAN MENGUBAH ISI WASIAT?

TAFSIR AYAT 180-182 SURAH AL-BAQARAH (2:180-182)

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالأقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ (180) فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (181) فَمَنْ خَافَ مِنْ مُوصٍ جَنَفًا أَوْ إِثْمًا فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu bapak dan kaum kerabatnya secara yang makruf, (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertakwa, Maka barang siapa yang mengubah wasiat itu setelah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya adalah bagi orang-orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Akan tetapi) barang siapa khuatir terhadap orang yang berwasiat itu, berlaku kesalahan atau berbuat dosa, lalu ia mendamaikan antara mereka, maka tidaklah ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (al-Baqarah 2:180-182)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 180-182 SURAH AL-BAQARAH: (HUKUM WASIAT DAN HUKUM BERWASIAT KEPADA WARIS)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Ayat yang mulia ini mengandung perintah berwasiat kepada kedua orang tua dan kaum kerabat. Pada mulanya hal ini hukumnya wajib, menurut pendapat yang paling sahih antara dua pendapat, yakni sebelum turunnya ayat mawarith (berhubung hukum pembahagian harta warisan). Setelah ayat faraid (berhubung hukum pembahagian harta pusaka) diturunkan (dalam surah an-Nisak), maka ayat ini dimansuhkan oleh ayat faraid. Dengan demikian, sejak diturunkan ayat faraid, maka pembahagian harta warisan telah ditentukan dan merupakan suatu yang fardu daripada Allah. Ia mesti dilaksanakan oleh orang-orang yang berkenaan dengan tegas, tanpa melalui proses wasiat lagi.. Telah disebutkan dalam sebuah hadis melalui Amr ibnu Kharijah yang menceritakan, dia mendengar Rasulullah SAW berkhutbah, yang antara lain baginda mengatakan:  إِنِ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ، فَلَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ   ‘Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak bahagiannya (masing-masing), maka tidak ada lagi wasiat bagi ahli waris’ (riwayat Tirmizi, an-Nasaie, Ibn Majah, Disahihkan oleh al-Albani).. Ibn Abu Hatim mengatakan, telah diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, Abu Musa RA, Sa’id ibnul Musayyab, al-Hasan, Mujahid, Ata’, Sa’id ibn Jubair, Muhammad ibn Sirin, Ikrimah, Zaid ibn Aslam, ar-Rabi’ ibn Anas, Qatadah, as-Saddi, Muqatil ibn Hayyan, Tawus, Ibrahim an-Nakha’i, Syuraih, ad-Dahhak, dan az-Zuhri, bahawa ayat ini (al-Baqarah ayat 180) telah dimansuhkan dan yang memansuhnya adalah ayat mirath (ayat yang menerangkan tentang agihan harta pusaka dalam an-Nisak)”.  (Tafsir al-Quran al-Azim 1/211)

    • HUKUM WASIAT TETAP RELEVAN : ‘Apabila seseorang antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika dia meninggalkan khairan, berwasiatlah untuk ibu bapak dan kaum kerabatnya secara yang makruf’ (ayat 180).  Berkata Imam Ibn Kathir: “Yang dimaksudkan dengan khairan ialah harta benda. Demikianlah menurut pendapat Ibn Abbas RA, Mujahid, Ata, Sa’id ibn Jubair, Abul Aliyah, Atiyyah al-Aufi, ad-Dahhak, as-Saddi, ar-Rabi’ ibn Anas, Muqatil ibn Hayyan, Qatadah, dan lain-lainnya. Kemudian sebahagian daripada mereka mengatakan bahawa wasiat itu disyariatkan tanpa memandang apakah harta peninggalan berjumlah banyak ataupun sedikit.. Di antara mereka ada yang mengatakan sesungguhnya wasiat itu diwajibkan hanya bila orang yang bersangkutan meninggalkan harta yang banyak. Kemudian mereka berselisih pendapat mengenai kadar jumlah yang banyak ini.. Yang dimaksudkan dengan ‘secara yang makruf’ ialah hendaknya dia berwasiat untuk kaum kerabat (yang harus menerima wasiat) dengan suatu wasiat yang tidak menghabiskan bahagian ahli warisnya, yakni tidak berlebih-lebihan dan tidak pula terlalu kedekut”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/212) {Ahli waris yang sudah mempunyai bahagiannya dalam pembahagian harta faraid tidak boleh menerima harta dalam bentuk wasiat. Namun wasiat yang dibuat untuk ahli waris adalah sah jika mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain selepas kematian orang yang meninggalkan wasiat itu.. Ini adalah pendapat muktamad dalam mazhab Imam asy-Syafi’e, mazhab Imam Ahmad dan satu pendapat dalam mazhab Imam Malik – Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh asy-Syafi’e (4/561), al-Fiqh al-Manhaji (2/258), Hasyiyah ad-Dusuki (4/427), al-Mughni (6/419) Maksimum harta yang boleh diwasiatkan ialah sepertiga daripada harta si mati – Rujuk al-Kafi #1225: Hukum Mewasiatkan Sebahagian Harta Kepada Anak}.

    • JUMLAH YANG BOLEH DIWASIATKAN : Telah yang disebutkan dalam hadis Bukhari dan Muslim, iaitu:  أَنَّ سَعْدًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ لِي مَالًا وَلَا يَرِثُنِي إِلَّا ابْنَةٌ لِي، أَفَأُوصِي بثُلُثَيْ مَالِي؟ قَالَ: “لَا” قَالَ: فبالشَّطْر؟ قَالَ: “لَا” قَالَ: فَالثُّلُثُ ؟ قَالَ: “الثُّلُثُ، وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ؛ إِنَّكَ أن تذر ورثتك أغنياء خير من أن تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ”.   Bahwa Sa’ad bin Abi Waqqas RA bertanya,  ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai harta yang banyak, sedangkan aku tidak mempunyai ahli waris selain anak perempuanku, maka bolehkah aku berwasiat dengan dua pertiga hartaku?’ Rasul SAW menjawab, ‘Tidak’. Sa’ad RA bertanya, ‘Bagaimana jika separuhnya?’ Rasul SAW menjawab, ‘Tidak’. Sa’ad RA bertanya lagi, ‘Bagaimana dengan sepertiga?’ Rasul SAW menjawab, ‘Sepertiga, ya, dan sepertiga itu pun cukup banyak. Sesungguhnya kamu jika meninggalkan ahli warismu dalam keadaan berkecukupan, jauh lebih baik daripada kamu tinggalkan mereka dalam keadaan miskin meminta-minta kepada orang lain’.” Dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan bahawa Ibn Abbas RA pernah mengatakan:  لَوْ أَنَّ النَّاسَ غَضوا مِنَ الثُّلُثِ إِلَى الرُّبُعِ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الثُّلُثُ، وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ”   ‘Seandainya orang-orang mengurangi wasiatnya daripada sepertiga kepada seperempatnya (nescaya ia baik bagi mereka), kerana sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, ‘Sepertiga. Sepertiga itu pun cukup banyak’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/212)

    • JIKA BERLAKU PENYELEWENGAN DALAM WASIAT : ‘Maka barang siapa mengubah wasiat itu setelah dia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya adalah bagi orang yang mengubahnya’ (al-Baqarah ayat 181). Berkata Imam Ibn Kathir: “Yakni barang siapa mengubah wasiat dan menyelewengkannya sehingga menyimpang daripada ketentuannya, baik dengan melebihkannya atau mengurangkannya, dan termasuk ke dalam pengertian ini ialah orang yang menyembunyikan, maka sesungguhnya dosanya adalah bagi orang-orang yang mengubahnya. Ibn Abbas RA dan yang lain-lainnya berkata, ‘Pahala mayat tetap ada di sisi Allah, sedangkan dosa mengubah wasiat ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/212) 

    • JIKA BERLAKU KESALAHAN ATAU DOSA DALAM WASIAT :Barang siapa khuatir terhadap orang yang berwasiat itu, berlaku kesalahan (janafan) atau berbuat dosa (ithman), lalu dia mendamaikan antara mereka, maka tidaklah ada dosa baginya’ (ayat 182). Berkata Syeikh Said Hawa: “Ia bermaksud barang siapa menyedari bahawa pewasiat telah melakukan janafan iaitu terbabas daripada kebenaran secara tidak sengaja, atau ithman iaitu terbabas dengan sengaja, maka dia perbetulkan keadaan secara adil, sekali gus mengelokkan hubungan antara semua pihak, maka itu adalah baik. Perubahan yang perlu dilakukan ke atas wasiat demi membetulkan keadaan bukanlah suatu yang keji yang mendatangkan dosa. ‘Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang’. Maha Pengampun lagi Penyayang kepada yang mengelokkan keadaan, dan Maha Pengampun bagi yang terbabas dan ketika dia kembali kepada kebenaran, Allah menyayanginya”. (al-Asas fit Tafsir 1/403)

    • KEPENTINGAN MENULIS WASIAT : Daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:  “مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَيْءٌ يُوصِي فِيهِ، يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ إِلَّا وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ”. قَالَ ابْنُ عُمَرَ مَا مَرَّتْ عَلَيّ لَيْلَةً مُنْذُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ذَلِكَ إِلَّا وَعِنْدِي وَصِيَّتِي  “Seseorang muslim yang memiliki sesuatu untuk diwasiatkan, maka tidak dibenarkan dia berdiam diri selama dua malam, melainkan wasiatnya hendaklah ditulis di sisinya”. Selanjutnya Ibn Umar RA berkata, “Tidak berlalu satu malam pun daripadaku sejak aku mendengar sabda Rasulullah itu melainkan wasiatku berada di sisiku”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (02 Muharram 1445 H. Bersamaan 20/07/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.    

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA: 

  1. Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
  2. Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  3. Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  4. Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  5. Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  6. Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
  7. Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
  8. A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  9. Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.
  10. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3321-al-kafi-1225-hukum-mewasiatkan-sebahagian-harta-kepada-anak