HUKUM QISAS DALAM ISLAM.. QISAS ADALAH KEHIDUPAN.. RUANG KEMAAFAN TERBUKA
TAFSIR AYAT 178-179 SURAH AL-BAQARAH (2:178-179)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالأنْثَى بِالأنْثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ (178) وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الألْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh (dengan sengaja). Orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat suatu permaafan daripada saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) menyusulinya dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barang siapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya seksaan yang sangat pedih. Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal, supaya kamu bertakwa”. (al-Baqarah 2:178-179)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 178-179 SURAH AL-BAQARAH: (HUKUM QISAS DALAM ISLAM)
Qisas bermaksud pembalasan yang serupa atas kejahatan yang dilakukan oleh penjenayah. Contohnya, bagi kesalahan bunuh (dengan sengaja) dibalas dengan hukuman mati (bunuh). Qisas berlaku dalam kes pembunuhan dan kes kecederaan atas anggota badan. Berkaitan ayat 178-179 berkaitan qisas ini, berkata Hamka: “Menurut keterangan al-Baidhawi, ahli tafsir yang terkenal: ‘Di zaman Jahiliah pernah terjadi pertumpahan darah antara dua persukuan Arab. Yang satu kabilahnya kuat dan yang satu lagi lemah. Maka terbunuhlah salah seorang daripada anggota kabilah yang kuat itu oleh kabilah yang lemah tadi. Lantaran merasa diri kuat, kabilah yang kuat itu mengeluarkan sumpah akan mereka balas bunuh, biarpun yang terbunuh di kalangan mereka seorang budak, mereka akan meminta orang yang merdeka (dibunuh). Walaupun yang terbunuh di kalangan mereka seorang perempuan, mereka akan minta ganti nyawa dengan seorang laki-laki’. Riwayat ini juga dibawakan oleh Ibn Abi Hatim dan Said bin Jubair. Lantaran itu maka hukum qisas zaman jahiliah bukan hukum, tetapi balas dendam. Agama Islam pun datang, iaitu di saat (budaya dendam) masih belum habis. Islam tidak dapat membenarkan balas dendam. Islam hanya mengakui adanya hukum qisas, bukan balas dendam.. Balas dendam harus dicegah, yang berhutang nyawa harus dibayar dengan nyawa, tetapi pintu maaf selalu terbuka, maka datanglah ayat ini”. (Tafsir al-Azhar 2/84)
-
- HUKUM BERDASARKAN KEADILAN : ‘Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh. Orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita’ (ayat 178). Berkata Hamka: “Di pangkal ayat ini kita telah mendapat dua kesan. Pertama urusan penuntutan bela kematian telah diserahkan kepada orang yang beriman. Ertinya kepada masyarakat, masyarakat Islam. Masyarakat Islam mempunyai SYURA (lihat surat 42 as-Syura, ayat 38).. Ayat ini telah menunjukkan bahawa masyarakat orang yang beriman wajib mendirikan pemerintahan untuk menegakkan keadilan, antaranya untuk menuntut bela atas orang yang mati teraniaya. Kesan yang kedua ialah bahawa bela nyawa itu diatur seadil adilnya. Antaranya ditunjukkan contoh contohnya, kalau orang lelaki merdeka membunuh lelaki merdeka, wajiblah dilakukan hukum qisas kepadanya, iaitu dia dibunuh pula. Kalau seorang hamba sahaya membunuh seorang hamba sahaya, dia pun akan dihukum bunuh. Kalau seorang perempuan membunuh seorang perempuan, si pembunuh itu akan dihukum bunuh pula. Dengan tiga patah kata ini mulailah ditanamkan peraturan yang adil, pengganti peraturan jahiliah yang berdasar balas dendam. Di zaman jahiliah, sebagai dikatakan tadi, walaupun yang terbunuh itu seorang budak, dan yang membunuh itu budak pula, wajiblah tuan dari budak yang terbunuh itu yang membayar dengan nyawanya. Walaupun yang terbunuh perempuan, pembunuhnya perempuan pula, wajiblah yang membayar dengan nyawanya lelaki keluarga perempuan itu. Kalau (tidak) belum merasa puas.. Dengan ayat ini nyatalah bahawa hak menuntut kepada si pembunuh supaya dia dibunuh masih tetap ada pada keluarga yang terbunuh. Tetapi perjalanan hukum.. ialah hakim. Sebab dia yang diserahi dan diakui oleh orang-orang yang beriman untuk menjaga perjalanan hukum”. (Tafsir al-Azhar 2/85)
-
- QISAS, KEMAAFAN DAN DIAT : ‘Maka barang siapa yang mendapat suatu permaafan daripada saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) menyusulinya dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula)’ (ayat 178). Berkata Imam Ibn Kathir: “Ad-Dahhak meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA berhubung firman-Nya: ‘Maka barang siapa yang mendapat permaafan daripada saudaranya’ (al-Baqarah ayat 178), bahawa mendapat suatu permaafan daripada saudaranya, (ialah) saudaranya memilih untuk mengambil (wang) diat dan bukannya melaksanakan hukum bunuh. Yang demikian itulah yang dimaksudkan dengan permaafan. Selanjutnya disebutkan: ‘Hendaklah (yang memaafkan) mengikut dengan cara yang baik’ (al-Baqarah ayat 178). Dengan kata lain, pihak (yang menuntut) hendaklah bertindak dengan cara yang baik selepas menerima diat. Dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula), (al-Baqarah ayat 178). Yakni hendaklah si pembunuh membayar diat tanpa ada tindakan yang membahayakan, juga tidak menunda-nunda pembayaran”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/210) Berkata Hamka: “Maka kalau masih ada jalan lain, selain daripada (hukum) bunuh, iaitu jalan maaf, dalam suasana orang beriman, saudara dengan saudara, adalah sangat diharapkan.. Sehingga dalam susunan ayat disebutkan bahawa yang memberi maaf itu ialah saudaranya.. Pada waktu itu hakim harus menyetujui dan menguatkan pernyataan yang mulia itu. Itulah yang dikatakan mengikuti dengan baik. Maka dengan pemberian maaf permusuhan dua keluarga telah hilang, malahan telah dianggap bersaudara. Hakim menyambut keputusan kedua keluarga ini dengan baik. Tetapi si pembunuh dengan keluarganya harus ingat kelanjutannya, supaya persaudaraan ini menjadi kekal dan dendam kesumat jadi habis. Di sinilah keluar peraturan yang bernama diat.. Jaminan harta benda untuk keluarga yang terbunuh. Ini yang disebut diat yang ditunaikan kepadanya dengan baik, secara yang makruf. Tentu saja secara perdamaian, kedua belah pihak disaksikan (oleh) hakim (tentang) berapa diat harus dibayar. Lantaran itu jelaslah bahawa dalam hukum pidana pembunuhan, Islam mempunyai tiga taraf; pertama, nyawa di bayar nyawa, kedua ialah maaf, ketiga adalah diat. Dalam qisas, perkembangan hukum dalam Islam ada juga kejadian, diat itu tidak (mahu) diterimanya kerana berkembangnya rasa iman.. Ketika akan dibayar diat (kepadanya) dia berkata: ‘Yang hilang tidaklah dapat diganti dengan wang. Marilah kita ganti saja dengan ukhuwah yang rapat di antara kita’. Apatah lagi pintu buat memberi maaf tentang diat ini pun memang ada. Tersebut dalam surah an-Nisak (surah 4), ‘Dan diat yang (wajib) diserahkan kepada keluarganya (keluarga si terbunuh). Kecuali jika mereka (keluarga) itu menyedekahkannya’ (an-Nisak ayat 92). (Tafsir al-Azhar 2/86) Maka berkata ayat selanjutnya: ‘Demikianlah keringanan dari Tuhanmu dan rahmat’. Berkata Imam Ibn Kathir: “Semoga Allah merahmati umat ini, Allah telah memperkenankan bagi mereka makan hasil diat yang belum pernah dihalalkan kepada seorang pun sebelumnya. Tersebutlah bahawa hukum yang berlaku di kalangan ahli Taurat hanyalah qisas dan permaafan tanpa diat. Sedangkan dalam syariat ahli Injil, hanya maaf belaka yang dianjurkan kepada mereka. Maka Allah menjadikan bagi umat ini hukum qisas dan permaafan serta diat. Hal yang sama diriwayatkan pula dari Sa’id ibn Jubair, Muqatil ibn Hayyan, dan ar-Rabi’ ibn Anas”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/210)
-
- TETAPI JIKA ADA YANG MASIH MELAMPAU : ‘Tetapi barang siapa yang melampaui batas sesudah itu, maka untuknya adalah azab yang pedih’ (hujung ayat 178). Berkata Hamka: “Sesudah hukum diputuskan, baik secara qisas ataupun secara diat, kalau masih ada yang membunuh, misalnya, ada keluarga si terbunuh berasa tidak puas, lalu dibunuhnya si pembunuh tadi.. maka azab yang pedihlah yang akan diterimanya. Ertinya pada waktu itu hakim bertindak melakukan hukum yang tidak mengenal ampun, demi menjaga ketenteraman bersama. Hakim dapat membunuh si pembunuh itu.. Menurut pengetahuan kita hukum qisas menurut al-Quran ini masih berjalan sepenuhnya dalam kerajaan Saudi Arabia, Yordania, Irak dan Kuwait. Kalau seorang pembunuh telah ditangkap dan diperiksa dan telah terang salahnya, terlebih dahulu ditanya keluarga si terbunuh apakah dia mau memberi maaf dan menerima diat. Kalau mahu akan diadakan penaksiran yang patut. Kalau keluarga itu tidak mahu barulah dijalankan hukum bunuh”. (Tafsir al-Azhar 2/87)
-
- MENGAPA TIDAK DIBUANG SAHAJA HUKUM BUNUH? SEBENARNYA PADA QISAS TERDAPAT KEHIDUPAN : ‘Dan untuk kamu dalam hal qisas itu ada kehidupan, wahai orang-orang yang mempunyai fikiran yang dalam’ (pangkal ayat 179). Berkata Hamka: “Ertinya, dengan adanya hukum qisas, nyawa bayar nyawa, sebagai hukum tingkat pertama, terjaminlah kehidupan masyarakat. Orang yang akan membunuh berfikir terlebih dahulu sebab dia pun akan dibunuh. Lantaran itu hiduplah orang dengan aman dan damai, dan dapatlah dibendung kekacauan dalam masyarakat.. Tetapi kalau si pembunuh hanya dihukum misalnya 15 tahun.. dan mungkin pula hukumannya dipotong, orang-orang yang telah rosak akhlaknya akan berasa mudah saja membunuh sesama manusia. Bahkan ada penjahat yang lebih senang masuk keluar penjara.. Sungguhpun demikian selalu juga ada terdengar ahli-ahli ilmu masyarakat yang meminta supaya hukum bunuh itu ditiadakan. Tetapi apa yang dikatakan al-Quran adalah lebih tepat. Lebih baik dipegang pangkal kata, iaitu hutang nyawa bayar nyawa. Adapun membunuh dengan tidak sengaja ataupun dengan sebab-sebab yang lain, itu dapatlah diserahkan kepada penyelidikan polis, jaksa atau hakim, sehingga menjatuhkan hukum dengan seadil-adilnya. Tetapi meniadakan hukum bunuh sama-sekali adalah suatu teori yang (lemah) sebab ahli-ahli penyakit jiwa manusia telah membuktikan memang ada kejahatan jiwa itu yang hanya dengan hukuman matilah baru dapat dibereskan. Apatah lagi orang yang telah membunuh, menjadi amat rosak jiwanya, sehingga bila bertengkar sedikit saja, mudah saja dia mencabut belati dan hendak membunuh lagi”. (Tafsir al-Azhar 2/88)
-
- TUJUANNYA ADALAH DEMI TAKWA : Berkata Hamka: “Maka di akhir ayat dinyatakanlah kunci yang sebenarnya: ‘Supaya kamu semua menjadi orang-orang yang bertakwa’ (hujung ayat 179). Dengan hujung ayat (ini) teranglah bahawa maksud masyarakat beriman ialah menegakkan keamanan, memelihara perdamaian dan mempertahankan hidup. Kalau ada yang dihukum bunuh, adalah untuk menjaga keamanan hidup masyarakat seluruhnya. Dan dalam pada itu keselamatan hidup bukanlah bergantung kepada adanya undang-undang saja. Keamanan hidup orang dan masyarakat lebih terjamin apabila tiap-tiap peribadi ada mempunyai kesedaran beragama, iaitu takwa. Sehingga bukan undang-undang yang mencegah mereka (menjadi) jahat, melainkan (kerana) takutnya kepada hukum Tuhan. Itulah TAKWA”. (Tafsir al-Azhar 2/88)
-
- BEBERAPA PANDANGAN SERTA HUKUM BERKAITAN QISAS : Berhubung ayat-ayat tentang qisas ini, Syeikh Said Hawa menukilkan beberapa perkara penting dalam al-Asas fit Tafsir: 1- Hukum qisas wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Oleh kerana hukum qisas tidak boleh dilaksanakan tanpa pemerintahan yang berdasarkan syariat Islam, maka hukumnya adalah wajib menegakkan pemerintahan Islam itu. 2- Ayat 179 iaitu: ‘Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagi kamu wahai yang berakal, supaya kamu bertakwa’ merupakan dalil bahawa takwa tidak akan sempurna tanpa pemerintahan (Islam), undang-undang dan hukuman (berpandukan syariat bagi yang bersalah). Justeru sahabat Uthman. bin Affan RA berkata, ‘Sesungguhnya Allah menghalang sesuatu dengan sultan (kekuasaan) terhadap sesuatu yang tidak dapat dihalang melalui al-Quran semata-mata’. Takwa yang sempurna tidak akan wujud tanpa pemerintahan berdasarkan Islam. 3- Jumhur ulama mengatakan, seorang yang merdeka tidak dihukum bunuh kerana membunuh seorang hamba. Demikian juga, seorang Muslim tidak dihukum bunuh kerana membunuh seorang kafir. Ia berdasarkan sebuah hadis riwayat Imam Bukhari. Namun Imam Abu Hanifah berbeza pendapat dengan mengatakan hadis itu berkaitan pembunuhan terhadap seorang kafir harbi. Namun jika bukan kafir harbi seorang Muslim boleh dihukum bunuh, berdasarkan keumuman maksud ayat 45 dalam surah al-Maidah iaitu: ‘Jiwa dibalas dengan jiwa’. Justeru seorang yang merdeka boleh dihukum bunuh kerana membunuh seorang hamba, seorang lelaki boleh dihukum bunuh kerana membunuh seorang wanita, dan seorang Muslim boleh dihukum keran membunuh seorang kafir zimmi. 4- Imam al-Hasan dan ‘Atha berkata, seorang lelaki tidak dihukum bunuh kerana membunuh seorang wanita, namun pendapat ini tidak disetujui oleh jumhur ulama kerana dalil ayat 45 dalam surah al-Maidah. 5- Jumhur ulama berpendapat sekumpulan manusia boleh dihukum bunuh jika mereka sama-sama terlibat membunuh seseorang manusia. Omar RA pernah menghukum bunuh tujuh orang yang telah membunuh seorang budak. Beliau berkata: ‘Jika penduduk Sanaa’ berkomplot membunuhnya, nescaya aku bunuh kesemuanya’. Tindakan beliau tidak ditentang oleh para sahabat ketika itu, dan ini merupakan suatu ijmak dari kalangan mereka. (rujuk al-Asas fit Tafsir 1/399-400)
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(01 Muharram 1445 H, Bersamaan 19/07/23). Tahun Baharu Hijrah 1445!
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
- Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.