HIDUP PASTI AKAN DIUJI.. FORMULA AL-QURAN KETIKA DITIMPA MUSIBAH.. KEPENTINGAN AL-ISTIRJA’ KETIKA DIUJI.. CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG
TAFSIR AYAT 155-157 SURAH AL-BAQARAH (2:155-157)
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأمْوَالِ وَالأنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
“Dan sungguh Kami pasti mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillahi wainna ilaihi raji’un’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”. (al-Baqarah 2:155-157)
TAFSIR-TADABBUR AYAT 155-157 SURAH AL-BAQARAH: (UJIAN ITU PASTI. FORMULA MENGHADAPI MUSIBAH)
Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia PASTI menimpakan ujian dan tribulasi kepada hamba-hamba-Nya”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/197)
- UJIAN ITU PASTI. BENTUK-BENTUK UJIAN : Berkata Imam Ibn Kathir: “Ada kalanya Allah SWT mengujinya dengan kesenangan dan ada kalanya mengujinya dengan kesengsaraan berupa rasa takut dan lapar, seperti yang di dalam firman-Nya: ‘Dengan sedikit daripada ketakutan dan kelaparan’ (al-Baqarah ayat 155). ‘Dan kekurangan harta benda’ (al-Baqarah ayat 155), yakni dengan lenyapnya sebahagian harta. ‘Dan dengan kekurangan jiwa’ (al-Baqarah ayat 155). Iaitu dengan kematian teman-teman, kaum kerabat, dan orang yang dikasihi. ‘Dan dengan kekurangan buah-buahan’ (al-Baqarah ayat 155). Yakni kebun dan bahan pertanian tanamannya tidak menghasilkan buahnya sebagaimana kebiasaannya.. Hal ini dan yang semisal dengannya merupakan ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT.. Barang siapa bersabar, maka ia mendapat pahala, dan barang siapa tidak sabar, maka azab-Nya akan menimpanya. Kerana itulah maka di hujung ayat ini disebutkan, ‘Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar’ (al-Baqarah ayat 155)”. Tafsir al-Quran al-Azim 1/197)
- TAFSIR DALAM AL-ASAS FIT TAFSIR : Berkata Syeikh Said Hawa: “Kita pasti akan diuji dengan sedikit sebanyak ‘daripada ketakutan’ maksudnya takut terhadap musuh. ‘Dan dengan kelaparan’ maksudnya lapar kesan kemarau, kemiskinan dan kepapaan. ‘Dan kekurangan harta benda’, yakni dengan lenyapnya sebahagian harta, seperti dengan kematian binatang-binatang ternakan, dan yang seumpamanya. ‘Dan dengan kekurangan jiwa’. Iaitu dengan kematian teman-teman, kaum kerabat, dan orang yang kita kasihi. ‘Dan dengan kekurangan buah-buahan’. Berkata sebahagian salaf, sebagai contoh dalam banyak pohon kurma, hanya satu sahaja yang berbuah. ‘Berikan khabar gembira kepada mereka yang sabar’ (al-Baqarah ayat 155), iaitu mereka yang sabar ketika ditimpa ujian di samping mereka istirja’ kepada Allah”. (al-Asas fit Tafsir 1/ 331)
- KELEBIHAN SABAR BERSERTA ISTIRJA’ : Berkata Imam Ibn Kathir: “Kemudian Allah menerangkan bahawa orang-orang yang sabar yang mendapat pahala dari Allah ialah mereka yang disebutkan dalam firman-Nya: ‘(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’ (al-Baqarah ayat 156). Yakni mereka menghiburkan diri mereka dengan mengucapkan kalimat tersebut manakala mereka ditimpa musibah, dan mereka yakin bahawa diri mereka adalah milik Allah. Dia memperlakukan kepada hamba-hamba-Nya menurut apa yang Dia kehendaki. Mereka meyakini bahawa Allah tidak akan menyia-nyiakan pahala di sisi-Nya seberat biji sawi pun kelak di hari kiamat. Maka ucapan ini menanamkan dalam hati mereka satu pengakuan yang menyatakan diri mereka adalah hamba-hamba-Nya dan mereka pasti akan kembali kepada-Nya di hari akhirat nanti. Kerana itulah maka Allah SWT memberitahu tentang ganjaran yang akan diberikan-Nya kepada mereka sebagai imbalan daripada hal tersebut melalui firman-Nya dalam ayat 157: ‘Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya’. Maksudnya, mendapat pujian daripada Allah SWT, sedangkan menurut Sa’id ibn Jubair, ia bermaksud mereka aman daripada seksaan Allah. ‘Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/197) Berkata Hamka: “Pertama, Tuhan memberikan selawat-Nya kepada kita, ertinya kita dipelihara dan diberi jaminan. Kedua, kita diberi limpahan rahmat, iaitu kasih-sayang yang tidak putus-putus. Tidak cukup hanya sekadar selawat dan rahmat, bahkan dijanjikan lagi dengan yang lebih mulia, iaitu diberi petunjuk dalam menempuh jalan bahagia ini, sehingga sampai dengan selamat kepada yang dituju”. (Tafsir al-Azhar 2/29)
- BERKATA OMAR AL-KHATTAB RA TENTANG SEBAIK-BAIK GANJARAN : “Amirul Mukminin Umar al-Khattab RA pernah berkata: ‘Dua timbangan pahala yang terbaik ialah sebagaimana yang disebutkan dalam ayat ini, iaitu selawat dan rahmat. Dan mereka juga mendapat pahala tambahan iaitu, mereka mendapat petunjuk’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/197) Berkata Syeikh Said Hawa: “Selawat daripada Allah ialah kasih sayang. Dan rahmat ialah keamanan daripada azab. Mendapat petunjuk ialah mendapat petunjuk untuk mengikut jalan yang betul, dan ini berlaku ketika mereka istirja’ kepada Allah”. (al-Asas fit Tafsir 1/332))
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(13 Zulhijjah 1444 H, Bersamaan 02/07/23)
- COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:
- Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
- Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
- Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
- Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
- Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
- Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
- A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
- Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.