Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 2) SURAH AL-BAQARAH, AYAT 151-152

MENYELAMI RAHSIA PENGUTUSAN RASUL SAW.. KAMU INGAT KEPADA AKU (ALLAH), NESCAYA AKU INGAT KEPADA-MU

TAFSIR AYAT 151 SURAH AL-BAQARAH (2:151)

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولا مِنْكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ

“Sebagaimana Kami mengutus kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepada kamu al-Kitab dan hikmat, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui”. (al-Baqarah 2:151)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 151 SURAH AL-BAQARAH: (RAHSIA DIUTUS NABI MUHAMMAD SAW)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT mengingatkan hamba-hamba-Nya yang mukmin akan nikmat yang telah dilimpahkan kepada mereka, iaitu diutus-Nya seorang Rasul — yakni Nabi Muhammad SAW — untuk membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah yang jelas, menyucikan serta membersihkan mereka daripada akhlak-akhlak yang rendah, jiwa-jiwa yang kotor, dan perbuatan-perbuatan Jahiliah, serta mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya, dan mengajarkan kepada mereka al-Quran dan hikmat, iaitu sunnah, serta mengajarkan kepada mereka banyak hal yang sebelumnya tidak mereka ketahui. Di zaman Jahiliah mereka hidup dalam kebodohan yang menyesatkan. Akhirnya berkat barakah risalah Nabi SAW, mereka menjadi orang-orang yang dikasihi oleh Allah, berwatak sebagai ulama, dan menjadi orang-orang yang berilmu paling mendalam, memiliki hati yang suci, tidak berpura-pura, dan paling jujur ungkapannya”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/195-196)

    • RAHSIA PENGUTUSAN NABI MUHAMMAD SAW: Berkata Syeikh Said Hawa: “Sebagaimana Kami telah mengutus kepada kamu seorang Rasul,’ ayat ini jika dikaitkan dengan ayat sebelumnya, maka jadilah maknanya, ‘sebagaimana Aku SWT menyempurnakan untuk kamu kurniaan nikmat di akhirat, demikian juga Aku menyempurnakan nikmat kamu di dunia dengan pengutusan seorang Rasul’. Jika ayat ini dikaitkan dengan ayat selepasnya, maka jadilah maknanya, ‘sebagaimana Aku SWT ingat kepada kamu dengan pengutusan Rasul, maka ingatlah kepada-Ku dengan taat’. Allah berfirman: ‘Seorang Rasul dari kalangan kamu’ bermaksud dari kalangan Arab, dan ini merupakan nikmat Allah kepada mereka. ‘Membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu,’ maksudnya membaca kepada mereka isi Kitab Allah. ‘Dan menyucikan kamu,’ maksudnya membersihkan kamu daripada kerendahan akhlak, kekotoran jiwa dan perbuatan jahiliah. ‘Dan mengajarkan kepada kamu al-Kitab dan hikmat’ maksudnya membaca dan mengajar al-Quran. Mengajar merupakan sesuatu yang lebih tinggi berbanding membaca (al-Quran). Justeru kita perlu mengujudkan majlis membaca al-Quran berserta tajwid, di samping itu kita juga perlu mengujudkan majlis tafsir (al-Quran). Adapun hikmat, ia bermaksud sunnah dan fiqh (kefahaman). ‘Serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui’ bermaksud Rasul juga mengajar dan menyampaikan sesuatu yang tidak mungkin dapat kita ketahui sesuatu pun tentangnya tanpa suluh wahyu”. (al-Asas fit Tafsir 1/320)

    • NIKMAT PENGUTUSAN RASUL SAW : Berkata Syahid Syed Qutub: “Pengutusan rasul di kalangan kamu itu merupakan suatu penghormatan dan limpah kurnia Allah yang besar.. Jika tidak kerana limpah kurnia Allah, tiada seorang pun daripada mereka yang bersih jiwanya, dan tiada jiwa yang akan bersih dan meningkat tinggi, tetapi Allah telah mengutus Rasullullah SAW untuk membersihkan jiwa mereka daripada kekotoran syirik, daripada pencemaran jahiliah dan daripada najis kefahaman dan pemikiran yang karut.. Juga membersihkan jiwa mereka daripada kekotoran keinginan nafsu supaya jiwa mereka tidak terhumban jatuh ke dalam lumpur. Orang-orang yang tidak dapat dibersihkan jiwa mereka oleh agama Islam, di merata pelosok bumi dahulu dan sekarang akan terus jatuh dan bergelumang di dalam paya yang busuk yang penuh dengan penyakit-penyakit hawa nafsu yang menjatuhkan nilai kemanusiaan dan membawanya ke darjat haiwan, malah haiwan jauh lebih bersih daripada manusia yang jatuh tanpa iman itu. Seterusnya ia membersihkan masyarakat daripada riba dan harta-harta haram, penipuan, perampasan dan penyamunan. Semuanya merupakan amalan-amalan najis yang mengotorkan jiwa dan perasaan, mencemarkan masyarakat dan kehidupan. la membersihkan kehidupan mereka daripada kezaliman dan penganiayaan, dan mengembangkan keadilan yang bersih dan jelas”. (Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb, https://archive.org, 2/154)

…………………………………………………………………………………………………………………….

TAFSIR AYAT 152 SURAH AL-BAQARAH (2:152)

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلا تَكْفُرُونِ

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepada kamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu kufuri (nikmat-Ku)”. (al-Baqarah 2:152)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 152 SURAH AL-BAQARAH: (KEPENTINGAN SENTIASA INGAT KEPADA ALLAH. MAKSUD ZIKIR.)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Al-Hasan al-Basri, Abul Aliyah, as-Suddi, dan ar-Rabi’ ibn Anas mengatakan bahawa Allah SWT selalu mengingati orang yang ingat kepada-Nya, memberikan tambahan nikmat kepada orang yang bersyukur kepada-Nya, dan mengazab orang yang ingkar terhadap-Nya”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/196)

    • MAKSUD ZIKIR ADALAH TAAT :  Berkata Imam Said bin Jubair: “Zikir adalah taat (kepada Allah). Sesiapa yang tidak taat kepada-Nya dia tidak berzikir kepada-Nya, walaupun dia banyak bertasbih, bertahlil dan tilawah al-Quran”. (Rujuk al-Asas fit Tafsir 1/196)

    • ZIKIR SAMBIL BERMAKSIAT? : “Ibn Abu Hatim mengatakan, Makhul al-Azdi meriwayatkan bahawa dia pernah bertanya kepada Ibn Umar RA, ‘Bagaimana menurutmu tentang orang yang membunuh jiwa, peminum khamar, pencuri, dan penzina yang selalu ingat (berzikir) kepada Allah, sedangkan Allah SWT telah berfirman: ‘Ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepada kamu’ (al-Baqarah ayat 152)? Ibn Umar RA menjawab, ‘Apabila Allah SWT mengingati orang ini, maka Dia mengingatinya dengan laknat-Nya’. Al-Hasan al-Basri berkata berhubung dengan makna firman-Nya: Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepada kamu,  maksudnya ialah: ‘Ingatlah kamu kepada-Ku dalam semua apa yang telah Aku fardukan ke atas kamu, nescaya Aku akan mengingati kamu sebagaimana yang Aku tetapkan ke atas diri-Ku untuk kamu’. Menurut Sa’id ibn Jubair: ‘Ingatlah kamu kepada-Ku dengan taat kepada-Ku, nescaya Aku selalu ingat kepada kamu dengan keampunan-Ku’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/196)

    • HADIS QUDSI, ‘JIKA HAMBA-KU DATANG SAMBIL BERJALAN, AKU DATANG DENGAN BERLARI’ : Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman, ‘Aku mengikut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya ketika ia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku saat bersendirian dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Jika ia mengingati-Ku dalam suatu kumpulan, Aku akan mengingatinya di kumpulan yang lebih baik daripada itu (kumpulan malaikat). Jika ia mendekatkan dirinya kepada-Ku sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Jika ia mendekati-Ku sehasta, Aku mendekatinya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan (biasa), maka Aku mendatanginya dengan berlari’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)”.

    • BERSYUKUR, JANGAN KUFUR : ‘Dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu kufuri (nikmat-Ku)’. Syeikh Said Hawa menukilkan kenyataan Sayyid Qutub: “Bersyukur kepada Allah itu mempunyai tahap-tahap dan darjat-darjatnya. la bermula dengan mengiktiraf limpah kurnia Allah dan berasa malu untuk melakukan perbuatan-perbuatan maksiat. Dan berakhir (kemuncaknya) dengan tajarrud (memberi sepenuh tumpuan kepada beribadat kepada Allah SWT) demi bersyukur kepada-Nya. Dan menyatakan kesyukuran itu dalam setiap pergerakan badan, setiap pertuturan lisan, setiap degupan jantung dan setiap ingatan hati”. (dalam al-Asas fit Tafsir 1/321)

    • ZIKIR BUKAN SEMATA-MATA DENGAN LIDAH : Berkata Syahid Syed Qutub: “Maksud zikir kepada Allah bukannya semata-mata sebutan dengan lidah. Malah maksudnya ialah mewujudkan rasa keterharuan ketika menyebutnya atau tanpa menyebutnya, dan melahirkan rasa keinsafan dan kesedaran terhadap Allah dan kewujudan-Nya, dan terus terpengaruh dengan perasaan ini hingga membawa kepada ketaatan (sepenuhnya kepada Allah)”. (Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb, https://archive.org,2/155


       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (09 Zulhijjah 1444 H, Bersamaan 28/06/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.   

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  1. Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984
  2. Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  3. Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  4. Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  5. Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  6. Tafsir Fi Zhilalil Qur’an, Sayyid Quthb, Gema Insani, Jakarta, 2000.
  7. Fi Zilal al-Quran – Sayyid Qutb (Terjemahan Bahasa Melayu) https://archive.org/details/FiZilalAlQuran1/Fi%20Zilal%20al-Quran%201/page/n167/mode/1up
  8. A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  9. Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.