Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

FADILAT & KEISTIMEWAAN SURAH AL-BAQARAH

FADILAT SURAH AL-BAQARAH:

1- MENDATANGKAN KEBERKATAN, MELEMAHKAN AHLI-AHLI SIHIR

  • Nabi SAW bersabda,

عَنْ أَبِيْ أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ  صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: اقْرَؤُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلا يَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ   رواه مسلم

  • Maksudnya: Daripada Abu Umâmah al-Bâhili RA beliau berkata, “Aku mendengar Rasûlullâh SAW bersabda, ‘Bacalah surah al-Baqarah, kerana sesungguhnya selalu menekuninya mendatangkan keberkatan, sedangkan meninggalkannya mengakibatkan penyesalan, dan para ahli batil (tukang sihir) tidak akan mampu melakukannya’.” (HR Muslim)
  • Maksud ‘selalu menekuninya’ ialah membacanya secara rutin, memahami kandungannya dan mengamalkannya (rujuk Faidhul Qadir 2/63). Maksud al-bathalah, ialah ahli batil, dan ahli batil yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah tukang sihir. Maksud hadis bahawa ‘ahli batil (yakni tukang sihir) tidak akan mampu melakukannya’ ialah mereka tidak akan mampu menghafal surah ini, atau ia bermaksud mereka tidak akan mampu mengganggu orang yang selalu membaca surah ini (rujuk Tafsir Ibn Kathir 1/57).

2- DENGANNYA SYAITAN MELARIKAN DIRI

  • Nabi SAW bersabda, 

                                                   لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

  • Maksudnya: “Jangan jadikan rumah-rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surat al-Baqarah di dalamnya.” (HR Muslim)

3- AL-BAQARAH MERUPAKAN PUNCAK AL-QURAN:

  • Nabi SAW telah bersabda, 

    إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ سَنَامًا وَسَنَامُ الْقُرْآنِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ خَرَجَ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي يُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

  • Maksudnya: “Sesungguhnya segala sesuatu mempunyai puncak, dan puncak al-Quran ialah surah al-Baqarah, dan sesungguhnya syaitan jika mendengar surah al-Baqarah dibaca maka ia akan keluar dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al Baqarah itu.”(HR Hakim, dinilai hasan oleh Syeikh al-Albani)

4- AYAT KURSI, AYAT PALING AGUNG:

  • Ubai bin Ka’ab RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah berkata kepada beliau:

يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَتَدْرِي أَيَّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللهِ مَعَكَ أَعْظَمُ قَالَ قُلْتُ اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ قَالَ فَضَرَبَ فِي صَدْرِي وَقَالَ وَاللهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ

  • Maksudnya: “Wahai Abul Munzir, tahukah kamu ayat apakah yang paling agung dalam al-Quran yang ada padamu?”. Maka aku berkata: “Allah SWT, tidak ada sembahan yang benar kecuali Dia, Yang Maha Hidup lagi Berdiri Sendiri dan Menegakkan Makhluk-Nya (iaitu al-Baqarah ayat 255, ayat al-Kursi)”. Maka Rasûlullâh SAW menepuk dadaku dan bersabda: “Demi Allah SWT, selamat atas ilmu yang kamu miliki, wahai Abul Munzir.” (HR Muslim)

5- DUA AYAT DARI PERBENDAHARAAN DI BAWAH ARSY

  • Abu Zar RA meriwayatkan sabda Nabi SAW iaitu,

                                                             أُعْطِيتُ خَوَاتِيمَ سُورَةِ الْبَقَرَةِ مِنْ كَنْزٍ تَحْتَ الْعَرْشِ، لَمْ يُعْطَهُنَّ نَبِيٌّ قَبْلِي

  • Maksudnya: “Aku telah diberikan ayat-ayat penutup surah al-Baqarah daripada perbendaharaan di bawah Arasy, yang belum pernah diberikan kepada mana-mana Nabi sebelumku.” (HR. Ahmad 5/151. Juga diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih)
  • Disebutkan dalam sebuah hadis sahih, Nabi SAW bersabda,                 

                                                                مَنْ قَرَأَ بِالآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِى لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

  • Maksudnya: “Sesiapa membaca dua ayat terakhir dari surat al-Baqarah pada malam hari, maka dia akan diberi kecukupan.” (HR Bukhari dan Muslim)
  • Para ulama menyebutkan bahawa sesiapa membaca dua ayat terakhir surat al-Baqarah, maka Allah SWT akan memberikan kecukupan baginya untuk urusan dunia dan akhiratnya, juga dia akan dijauhkan daripada kejelikan. Ada juga ulama yang mengatakan bahawa dengan membaca ayat-ayat tersebut imannya akan diperbaharui. Ada juga ulama yang mengatakan bahawa ayat tersebut boleh menjadi pengganti kepada pelbagai zikir kerana di dalamnya sudah terdapat doa memohon kebaikan dunia dan akhirat. (Rujuk Dr. Mushthafa al-Bugha dalam Nuzhah al-Muttaqin)

                      ………………………………………………………………………………………………………………………………………

BEBERAPA KEISTIMEWAAN SURAH AL-BAQARAH:

Surah al-Baqarah merupakan surah nombor dua dalam al-Quran selepas surah al-Fatihah. Antara keistimewaan surah ini ialah:

1- SURAH TERPANJANG:

  • Surah al-Baqarah yang mengandungi 286 ayat dan terdapat lebih daripada dua juzuk dalamnya merupakan surah yang terpanjang dalam al-Quran. Ia diturunkan di Madinah. (Tafsir al-Azhar oleh Hamka, 1/109)

2- AYAT TERPANJANG DALAM AL-QURAN

  • Ayat terpanjang dalam al-Quran ialah ayat 282 dalam surah al-Baqarah berkaitan hutang piutang (al-Asas fit Tafsir 1/657). Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَنْ يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا فَإِنْ كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِنْ رِجَالِكُمْ فَإِنْ لَمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَنْ تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى وَلَا يَأْبَ الشُّهَدَاءُ إِذَا مَا دُعُوا وَلَا تَسْأَمُوا أَنْ تَكْتُبُوهُ صَغِيرًا أَوْ كَبِيرًا إِلَى أَجَلِهِ ذَلِكُمْ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَى أَلَّا تَرْتَابُوا إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً حَاضِرَةً تُدِيرُونَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَلَّا تَكْتُبُوهَا وَأَشْهِدُوا إِذَا تَبَايَعْتُمْ وَلَا يُضَارَّ كَاتِبٌ وَلَا شَهِيدٌ وَإِنْ تَفْعَلُوا فَإِنَّهُ فُسُوقٌ بِكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ   (al-Baqarah 2:282)

  • Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis itu enggan menuliskannya sebagaimana Allah SWT mengajarkannya, maka hendaklah dia menulis, dan hendaklah orang yang berhutang itu mengimlakkan (apa yang akan ditulis itu), dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah SWT Tuhannya, dan janganlah dia mengurangi sedikit pun daripada hutangnya. Jika yang berhutang itu seorang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu mengimlakkannya, maka hendaklah walinya mengimlakkannya dengan jujur. Dan bersaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki (di antaramu). Jika tak ada dua orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan sebagai saksi yang kamu redai, supaya jika seorang terlupa maka yang seorang lagi dapat mengingatkannya. Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil, dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik kecil mahu pun besar sampai batas waktu untuk membayarnya. Yang demikian itu lebih adil di sisi Allah SWT dan lebih menguatkan persaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan) keraguanmu. (Tulislah muamalahmu itu), kecuali jika muamalah itu perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, Maka tidak ada dosa bagi kamu, (jika) kamu tidak menulisnya. Dan bersaksikanlah apabila kamu berjual beli. Dan janganlah penulis dan saksi saling sulit menyulitkan. Jika kamu lakukan (yang demikian), maka sesungguhnya hal itu adalah suatu kefasiqan pada dirimu. Dan bertakwalah kepada Allah SWT dan Allah SWT telah mengajar kamu. Dan Allah SWT Maha mengetahui segala sesuatu.” (al-Baqarah 2:282)

3- AYAT TERAKHIR TURUN

  • Terdapat pelbagai pandangan berhubung perkara ini kerana tidak terdapat sebarang sabda Nabi SAW berhubung dengannya. Namun pendapat yang paling kuat menyebutkan bahawa ayat terakhir yang diturunkan ialah ayat 281 dalam surah al-Baqarah.
  • Hal ini diriwayatkan oleh Imam an-Nasaai dalam al-Kubra daripada Abdullah ibn Abbas RA. Disebutkan oleh Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni dalam at-Tibyan fi Ulum al-Quran: “Pendapat ini adalah sahih lagi tepat (rajih) dan menjadi pegangan para ulama, antara yang terkemuka ialah sahabat Abdullah ibn Abbas RA dan Imam Sayuti.”
  • Dalam al-Asas fit Tafsir, Syeikh Said Hawa berkata, “Pendapat yang tepat di sisi ulama ialah yang mengatakan ayat terakhir yang turun ialah ayat ini (ayat 281 dalam surah al-Baqarah).” (al-Asas fit Tafsir 1/650) Allah SWT berfirman:

                                                       وَٱتَّقُوا۟ يَوْمًۭا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى ٱللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍۢ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

  • Maksudnya: “Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah SWT. Kemudian masing-masing diberikan balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya”. (al-Baqarah 2:281)
  • Menurut Imam al-Alusi, terdapat banyak riwayat daripada Ibn Abbas RA yang menyatakan ayat ini merupakan ayat al-Quran terakhir yang diturunkan (rujuk Tafsir Ruh al-Ma’ani oleh Imam al-Alusi). Inilah juga pandangan Said ibn Jubair, dan beliau mengatakan Nabi s.a.w hidup selama sembilan malam selepas ayat ini diturunkan (rujuk Tafsir Ibn Abi Hatim).

       

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.

  • DISEMPURNAKAN PADA 30/01/2023.. COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  • Al-Asas fit Tafsir, Syeikh Said Hawa, Dar as-Salam, Kaherah, 1985
  • Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
  • At-Tibyan fi Ulum al-Quran, Syeikh Mohamad Ali as-Sobuni, Darul Sobuni, Kaherah, 1999