Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 1) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 67-74

DOLAK-DALIK BANI ISRAIL BERHUBUNG PERINTAH UNTUK MENYEMBELIH SEEKOR SAPI BETINA.. TERLALU MENGHALUSI AKAN PERSULITKAN AGAMA.. ALLAH SULITKAN HIDUP ORANG YANG BANYAK BERDOLAK-DALIK DALAM BERAGAMA

TAFSIR AYAT 67 SURAH AL-BAQARAH (2:67)

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تَذْبَحُوا بَقَرَةً ۖ

قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا ۖ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, ‘Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor sapi betina’. Mereka berkata, ‘Apakah kamu hendak menjadikan kami buah ejekan?’ Musa menjawab, ‘Aku berlindung kepada Allah agar tidak termasuk dalam golongan orang yang jahil’.” (Al-Baqarah 2:67)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 67 SURAH AL-BAQARAH: (KISAH BERHUBUNG ARAHAN AGAR BANI ISRAIL MENYEMBELIH SEEKOR SAPI BETINA)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT berfirman melalui ayat ini, ‘Wahai Bani Israil, ingat akan nikmat yang telah Aku limpahkan kepada kamu berupa kejadian luar biasa, iaitu mengenai penyembelihan seekor sapi betina dan penjelasan mengenai si pembunuhnya melalui sapi betina itu. Kemudian Allah menghidupkan yang terbunuh sehingga dapat ditanya siapa yang membunuhnya”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/108)

  • SEBAB BANI ISRAIL DIARAHKAN MENYEMBELIH SAPI BETINA? : Menurut Hamka, asal-usul timbulnya perintah untuk menyembelih seekor lembu betina ialah kerana telah terjadi satu pembunuhan dan tidak diketahui siapa pembunuhnya. Maka untuk menyelesaikan perselisihan yang boleh menimbulkan huru-hara antara satu suku dengan suku yang lain, atau antara satu kampung dengan kampung yang lain, maka Nabi Musa AS memerintahkan agar disembelih seekor lembu betina. (Tafsir al-Azhar 1/218)
  • BAHAGIAN TERTENTU SAPI AKAN DIGUNAKAN UNTUK MEMUKUL MAYAT ORANG YANG TERBUNUH : Mengikut Adi Ibn Hatim dan Imam at-Tabari, selepas sapi disembelih, mayat orang yang terbunuh akan dipukul dengan menggunakan bahagian tubuh sapi yang tertentu dan dengan itu dia pun bangun dan memberitahu siapa pembunuhnya. Hal ini disebutkan dalam Tafsir Ibn Kathir. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/108)
  • PERINTAH RASUL BANI ISRAIL ANGGAP SEBAGAI MEMPEROLOKKAN MEREKA : Berkata Hamka: “Perintah sudah jelas untuk menyembelih lembu betina. Dan kalau mereka tidak keras kepala, nescaya perintah itu dapat dilaksanakan ketika itu juga. Sebab lembu betina itu banyak berkeliaran di padang rumput mereka. Tetapi mereka ingin bertukar fikiran dan memandang enteng perintah Rasul mereka. Maka mereka berkata: ‘Apakah kamu jadikan kami bahan ejekan?’ Perintah itu mereka pandang sebagai mempermain-mainkan mereka sahaja. Mungkin hati mereka yang kesat itu berkata, kita sekarang ini tengah mencari penyelesaian pembunuhan, tahu tahu lembu betina yang disuruh sembelih. Mendengar demikian Nabi Musa AS berkata: ‘Aku berlindung dengan Allah agar tidak termasuk dalam golongan orang yang jahil/bodoh’ (hujung ayat 2:67). Dengan jawapan demikian Nabi Musa AS telah menjelaskan bahawa dia tidak memberikan perintah main-main. Sebab menjatuhkan perintah hanya untuk bersenda gurau bukanlah perbuatan orang yang berakal budi, melainkan perbuatan orang yang bodoh. Apatah lagi jika dia adalah seorang Rasul Allah. Aku berlindung kepada Tuhan daripada perangai demikian”. (Tafsir al-Azhar 1/218)

                                          …………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

TAFSIR AYAT 68 SURAH AL-BAQARAH (2:68)

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا هِيَ ۚ قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَّا فَارِضٌ وَلَا بِكْرٌ

 عَوَانٌ بَيْنَ ذَٰلِكَ ۖ فَافْعَلُوا مَا تُؤْمَرُونَ 

“Mereka berkata, ‘Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami sapi betina apakah itu’. Musa menjawab, ‘Sesungguhnya Allah berfirman bahawa sapi betina itu adalah sapi betina yang tidak tua dan tidak muda, pertengahan di antara itu, maka kerjakanlah apa yang diperintahkan”. (al-Baqarah 2:68)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 68 SURAH AL-BAQARAH: (SAPI BETINA YANG TIDAK TUA, TIDAK MUDA)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT menceritakan tentang sikap keras kepala kaum Bani Israil yang banyak persoalan diajukan kepada Rasul mereka. Oleh kerana mereka mempersulit diri maka Allah menimpakan kesulitan kepada mereka. Seandainya mereka segera menyembelih mana-mana sapi betina yang ada, nescaya hal itu sudah cukup bagi mereka sesuai dengan apa yang diperintahkan. Demikian menurut Ibn Abbas, Ubaidah, dan lain-lain­nya RA Tetapi ternyata orang-orang Bani Israil berkeras kepala, maka Allah sulitkan urusan mereka”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/110)

  • DISULITKAN AGAMA YANG MUDAH : Berkata Hamka: “Kesombongan mereka dan cara mereka bertanya sebenarnya telah mempersulit diri mereka sendiri. Dengan jawapan Nabi Musa AS yang menyuruh mereka mencari lembu betina yang belum tua, tetapi tidak pula muda, yang pertengahan antara tua dan muda, mereka telah mempersulit diri. Tadinya jika mereka tangkap saja sembarang lembu betina, entah muda entah tua, perintah itu telah terlaksana dengan baik. Tetapi dengan perintah yang sekarang ini, mereka mesti menyaring terlebih dahulu dan menaksir umur lembu-lembu betina yang hendak disembelih itu. Nabi Musa memerintahkan lekas-lekaslah laksanakan perintah itu, dengan maksud supaya mereka jangan bertanya lagi. Tetapi mereka tidak mahu mengerti”. (Tafsir al-Azhar 1/219)

                                       ……………………………………………………………………………………………………………………………………………….

TAFSIR AYAT 69 SURAH AL-BAQARAH (2:69)

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا لَوْنُهَا ۚ قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ صَفْرَاءُ فَاقِعٌ لَّوْنُهَا تَسُرُّ النَّاظِرِينَ

“Mereka berkata: ‘Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk Kami agar Dia menjelaskan kepada kami apa warnanya’. Musa menjawab: ‘Sesungguhnya Allah berfirman bahawa (sapi) itu adalah sapi betina yang kuning tua warnanya, yang menyenangkan orang-orang yang memandangnya”. (al-Baqarah 2:69)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 69 SURAH AL-BAQARAH: (SAPI BETINA BERWARNA KUNING TUA)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Berkata Ibn Abbas RA, ‘warna yang tersangat kuning dan oleh kerana tersangat kuning ia kelihatan nyaris putih’. Berkata as-Saddi, ‘yang melihatnya berasa kagum’. Berkata Wahb bin Munabbih, ‘jika engkau melihat kulitnya, akan terlintas di benakmu bahawa sinar matahari terpancar dari kulitnya’.” (Tafsir al-Quran al-Azim 1/111)

    • PERTANYAAN TAMBAHAN YANG MENYULITKAN DIRI : Berkata Hamka: “Cubalah     tanyakan kembali kepada Tuhanmu itu: ‘Supaya Dia jelaskan kepada kami. Bagaimana warnanya?’ Sekarang warnanya pula yang mereka tanyakan kepada baginda. Padahal kalau tidak mereka tanyakan warna, sebarang warna pun jadi. ‘Berkata dia: Sesungguhnya Dia berfirman, bahawa ia adalah seekor lembu betina yang kuning, berkilat warnanya, menyenangkan mereka yang melihat’ (ujung ayat 69). Jawapan Nabi Musa AS ini mempergandakan kesulitan mereka. Tadi sudah diperintahkan agar segera perintah itu laksanakan. Tetapi kerana ingin hendak menunjukkan bahawa mereka orang ahli bertanya semua, sekarang mereka minta penjelasan warnanya. Dan telah dijawab oleh Nabi Musa AS, hendaklah kuningnya bukan sebarang kuning, hendaklah kuning berkilau, senang mata memandangnya. Belum juga mereka insaf, rupanya mencari lembu betina yang demikian warnanya, demikian pula umurnya bukanlah perkara yang mudah lagi, sedang urusan pembunuhan belum lagi diselesaikan. Dan itu pun belum juga memuaskan mereka, mereka masih juga bertanya”. (Tafsir al-Azhar 1/219)

                                      ………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

TAFSIR AYAT 70-71 SURAH AL-BAQARAH (2:70-71)

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّنْ لَنَا مَا هِيَ إِنَّ الْبَقَرَ تَشَابَهَ عَلَيْنَا وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَمُهْتَدُونَ  قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لا ذَلُولٌ تُثِيرُ الأرْضَ وَلا تَسْقِي الْحَرْثَ مُسَلَّمَةٌ لا شِيَةَ فِيهَا قَالُوا الآنَ جِئْتَ بِالْحَقِّ فَذَبَحُوهَا وَمَا كَادُوا يَفْعَلُونَ

“Mereka berkata, ‘Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami bagaimana hakikat sapi betina itu, kerana sesungguhnya sapi betina itu (masih) samar bagi kami dan sesungguhnya kami insya-Allah akan mendapat petunjuk’. Musa berkata, ‘Sesungguhnya Allah berfirman bahawa sapi betina itu adalah sapi betina yang belum pernah dipakai untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, tidak cacat, dan tidak ada belangnya’. Mereka berkata, ‘Sekarang barulah kamu menerangkan hakikat sapi betina yang sebenarnya’. Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir mereka tidak melaksanakan perintah itu”. (al-Baqarah 2:70-71)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 70-71 SURAH AL-BAQARAH: (ISU SAPI BETINA. MENGAPA DISULITKAN SESUATU YANG MUDAH DALAM AGAMA?)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Sapi betina tersebut bukan sapi betina yang dipersiapkan untuk membajak tanah, tidak pula dipersiapkan untuk mengangkut air pengairan, melainkan ia sapi betina yang dipelihara sebagai haiwan kesayangan dalam keadaan sihat, utuh, lagi tiada cacat”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/111)

    • JENIS MANUSIA YANG SUKA BERDOLAK-DALIK : Berkata Hamka:Lembu itu banyak, lantaran banyaknya kami jadi ragu. ‘Dan sesungguhnya kami Insya-Allah, akan dapat petunjuk’ (hujung ayat 70). Mudah-mudahan kami kelak diberi petunjuk Allah mencarinya, sehingga dapat yang kita cari itu. ‘Dia berkata: Sesungguhnya Dia mengatakan bahawa ia hendaklah lembu betina yang tidak (pernah) digunakan untuk membajak tanah, dan tidak perancah sawah, tidak cacat, dan tidak ada belang padanya’ (pangkal ayat 71). Dengan jawapan Nabi Musa AS ini bertambah kesukaran mencari lembu betina yang tidak muda, belum tua benar, kuning warnanya, berkilau- kilau dan belum pernah diambil penarik bajak membuka tanah atau membajak sawah dan tidak ada cacat, tidak ada luka atau parut, dan tidak ada belangnya. Benar-benar seekor sapi pingitan. Tetapi bagaimana mereka atas jawapan yang terakhir itu. Mereka bangga dan, ‘Mereka berkata: Sekarang engkau telah datang membawa kebenaran!’ Kalau begitu barulah kami percaya bahawa engkau sungguh-sungguh seorang Nabi yang diutus Allah membawa kebenaran. ‘Maka mereka sembelih ia’ iaitu sesudah bekerja keras berhari-hari lamanya mencari lembu betina dengan syarat-syarat yang demikian. Alangkah susahnya.. ‘Dan nyarislah mereka tidak sanggup mengerjakannya’ (hujung ayat 71)”. (Tafsir al-Azhar 219-220) Berkata Ibn Abbas RA: “Mereka nyaris tidak mengerjakannya. (Sebenarnya) mereka tidak menginginkan penyembelihan itu”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/111)

    • DI MANA DITEMUI LEMBU BETINA ITU? : Berkata Hamka: “Maka panjanglah keterangan ahli-ahli tafsir tentang cara mencari lembu betina itu, sehingga dengan kisah tambahan daripada ahli tafsir, maka kisah asli daripada al-Quran ditambahi bumbu di sana sini sehingga menjadi semacam roman (yakni cerita rekaan) sampai ada yang mengatakan bertemu juga akhirnya lembu betina dengan cukup segala syarat itu tetapi harus dibayar harganya dengan wang emas sepuluh kulit lembu itu. Oleh kerana tambahan, tidak berdasarkan hadis sahih, maafkanlah kita jika tidak kita bawakan. Bahkan berkata Imam as-Syaukani dalam tafsirnya Fathul Qadir, ‘Hal ini telah diriwayatkan dengan kisah yang macam-macam, yang tidak ada hubungannya dengan pokok, dan tidak banyak faedahnya’.” (Tafsir al-Azhar 1/220)

                                   ………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

TAFSIR AYAT 72-73 SURAH AL-BAQARAH (2:72-73)

وَإِذْ قَتَلْتُمْ نَفْسًا فَادَّارَأْتُمْ فِيهَا وَاللَّهُ مُخْرِجٌ مَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ (٧٢) فَقُلْنَا اضْرِبُوهُ بِبَعْضِهَا كَذَلِكَ يُحْيِي اللَّهُ الْمَوْتَى وَيُرِيكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

“Dan (ingatlah) ketika kamu membunuh seorang manusia, lalu kamu saling tuduh-menuduh tentang itu. Dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu sembunyikan. Lalu Kami berfirman, pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota sapi betina itu!’ Demikianlah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati, dan diperlihatkan pada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya agar kamu mengerti”. (al-Baqarah 2:72-73)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 72-73 SURAH AL-BAQARAH: (MAYAT YANG MATI DIBUNUH HIDUP SEMULA UNTUK MEMBERITAHU TENTANG PEMBUNUHNYA)

Syeikh Said Hawa menyimpulkan bahawa, kisah tentang penyembelihan sapi betina (dalam al-Baqarah ayat 67-71) berakhir dengan ayat 71, dan kemudian bersambung dengan ayat 72. Kisah yang terdapat dalam ayat 67-71 dan kisah yang bermula dari ayat 72 sebenarnya berhubung kait antara satu sama lain, namun di sudut jalan ceritanya kelihatan seperti terpisah antara satu sama lain. Hal ini disebabkan fokus yang berbeza. Ayat 67-71 memfokuskan tentang sikap hodoh Bani Israil yang menganggap perintah Nabi Musa SAW untuk menyembelih sapi betina sebagai suatu bahan ejekan untuk mereka. Juga memfokuskan tentang sikap dolak-dalik mereka dalam melaksanakan perintah Allah dan yang berkaitan dengannya. Ayat 72-74 memfokuskan tentang kes pembunuhan yang berlaku di kalangan mereka disusuli dengan kejadian yang melambangkan tanda kebesaran Allah. (al-Asas fit Tafsir 1/159)

    • PEMBUNUHNYA SEORANG SAHAJA, NAMUN MASYARAKAT SEKELILING JUGA BERTANGGUNGJAWAB : Berkata Syeikh said Hawa: Allah berfirman waiz qataltum nafsan yang bermaksud kamu (dalam bentuk jamak / plural) telah membunuh seorang manusia, sedangkan yang terlibat membunuh hanya seorang sahaja. Ini bermaksud apabila berlaku pembunuhan itu masyarakat di sekeliling mempunyai tanggungjawab berkaitan dengan pembunuhan yang berlaku. (al-Asas fit Tafsir 1/159)

    • SI MATI HIDUP SEMULA? : Berkata Hamka: “Kedapatan orang mati terbunuh, tetapi tidak terang siapa pembunuhnya. Maka timbul tolak menolak, tuduh menuduh. Maka disembelih seekor lembu betina, yang akan digunakan untuk mencari siapa pembunuhnya: ‘Dan Kami katakan: Pukullah olehmu dengan sebahagian daripadanya’ (pangkal ayat 73). Apakah orang yang telah mati itu dipukul menggunakan sebahagian tubuh lembu betina yang telah dipotong itu? Atau apakah (yang dipukul itu) kuburnya? Bahagian sapi yang mana (yang digunakan untuk) memukul? Kata setengah ahli tafsir dengan ekor lembu betina itu. Kata yang lain dengan tunjang kakinya, dan kata yang setengah dengan lidahnya. Yang mana yang benar, tidaklah penting. Sebab kalau al-Quran sudah menyatakan sebahagian daripada tubuhnya, (ia sudah cukup). Yang penting diperhatikan ialah lanjutan sabda Tuhan: ‘Demikianlah Allah menghidupkan yang telah mati, dan memperlihatkan ayat-ayat-Nya supaya kamu berfikir’ (hujung ayat 73)”. (Tafsir al-Azhar 1/220)

    • BANI ISRAIL MENYAKSIKAN PERKARA LUAR BIASA : Allah berfirman: : ‘Pukullah olehmu dengan sebahagian daripadanya’ (2:73). Imam Ibn Kathir menjelaskan, maksudnya ialah mayat dipukul dengan menggunakan satu bahagian daripada anggota badan sapi. Dengan demikian mukjizat pun terjadi. Mayat itu hidup kembali.. Kemudian dapat ditanya siapa yang telah membunuhnya.. Allah tidak menceritakan tentang bahagian sapi mana yang digunakan, maka lebih baik kita juga diam tentang perkara ini. Dengan kejadian tersebut Allah memperlihatkan kekuasaan dan kemampuan-Nya untuk menghidupkan orang yang telah mati. Allah menjadikan ini sebagai hujah tentang adanya akhirat. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/287 & 293)

                                        ………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

TAFSIR AYAT 74 SURAH AL-BAQARAH (2:74)

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُم مِّن بَعْدِ ذَٰلِكَ فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الْحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ الْأَنْهَارُ ۚ وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ الْمَاءُ ۚ وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Kemudian setelah itu hati kamu menjadi keras seperti batu, bah­kan lebih keras lagi. Padahal antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai darinya dan antaranya ada yang terbelah, lalu keluarlah mata air darinya dan antaranya ada yang meluncur jatuh, kerana takut ke­pada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan”. (al-Baqarah 2:74)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 74 SURAH AL-BAQARAH: (HATI MANUSIA ADA YANG LEBIH KERAS DARIPADA BATU)

Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT berfirman mencemuh Bani Israil di samping memberi peringatan kepada mereka melalui tanda kebesaran Allah SWT, iaitu dengan dihidupkan orang yang telah mati. Semua itu mereka saksikan dengan mata kepala mereka sendiri. Tetapi ternyata mereka tetap keras, seperti yang disebutkan dalam firman-Nya: ‘Kemudian setelah itu hati kamu menjadi keras’ (2:74). Ertinya, setelah semuanya itu hati kamu menjadi keras seperti batu yang tidak pernah lunak selama-lamanya. Kerana itulah Allah SWT melarang kaum mukmin berperi laku seperti mereka”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/295)

    • HATI BANI ISRAIL YANG LEBIH KERAS DARIPADA BATU : Berkata Hamka: “Lebih keras daripada batu, sebab tidak ada pengajaran yang bisa masuk ke dalam. ‘Dan sesungguhnya daripada batu kadang-kadang terpancarlah daripadanya sungai-sungai’. Ertinya, daripada batu yang dikatakan keras itu masih ada faedah yang diharap; dia dapat memancarkan sungai. Tapi hati yang keras tak dapat memancarkan faedah apa-apa. ‘Dan sesungguhnya setengah daripadanya ada yang terbelah, maka keluarlah air dari dalamnya’. Dapatlah menjadi minuman orang; berfaedah juga. ‘Dan sesungguhnya setengahnya pula ada yang runtuh kerana takutnya kepada Allah’. Maka kalau hatimu dimisalkan sekeras batu, padahal daripada batu masih banyak faedah yang diharapkan dan ada batu yang runtuh kerana takut kepada Allah dan tunduk sujudnya kepada Tuhan, apakah lagi misal yang layak bagi hatimu yang kesat lagi keras itu? Sungguhpun demikian: ‘Dan tidaklah Allah lengah dari apa yang kamu lakukan’ (hujung ayat 74). Tidaklah Allah akan lengah. Tidaklah kamu terlepas daripada titikan Tuhan. Pasti datang masanya kamu akan membayar sendiri dengan mahal segala kejahatan hatimu itu. Jika pengajaran yang lunak tidak berbekas kepada hatimu, kerana lebih keras daripada batu, maka palu godam azablah yang akan menimpa dirimu kelak. Waktunya akan datang”. (Tafsir al-Azhar 1/223)

                                       ……………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

                                                                                  KISAH PENYEMBELIHAN SAPI BETINA,

                                                            DAN IBRAH PENTING YANG TERHASIL DARIPADANYA (2:67-74)

    • MENGAPA PENYEMBELIHAN SAPI? : Berkata Syeikh Said Hawa: “Mereka diarahkan untuk menyembelih lembu kerana ia bentuk korban terbaik ketika itu dan juga kerana mereka sebelum itu telah menyembah (berhala) lembu”. (al-Asas fit Tafsir 1/161)

    • PATUH DAN JANGAN SULITKAN AGAMA : Berkata Hamka: “Celaan keras pada ayat tersebut, terutama tentang ceritera penyembelihan lembu betina itu meninggalkan kesan mendalam di hati kita kaum Muslimin, bahawa Tuhan Allah menurunkan suatu perintah dengan perantaraan Rasul-Nya adalah dengan terang, jitu dan ringkas. Agama tidaklah untuk mempersukar manusia. Sebab itu dilarang keras berbanyak tanya, yang kelak akan menyebabkan itu menjadi berat. Bukanlah perintah agama yang tidak cukup, sebab itu jalankanlah sebagaimana yang diperintahkan. Dirawikan oleh Ibn Jarir at-Tabari dalam tafsirnya, dengan riwayat yang sahih dari Ibn Abbas RA: ‘Kalau mereka sembelih saja sebarang lembu betina yang mana mereka kehendaki, sudahlah diterima. Tetapi mereka mempersukar atas diri mereka sendiri, sebab itu Allah pun mempersukar’. Dan ada lagi hadis sahih yang lain berupa nasihat buat kita kaum Muslimin, iaitu: ‘Dan dibenci pada kamu banyak bicara, menyia-nyiakan harta dan banyak bertanya’. Agama mudah dijalankan, yang menyukarkannya ialah apabila banyak ‘kalau begini, kalau begitu’.” (Tafsir al-Azhar 1/223)

    • KEPENTINGAN BERKATA INSYA-ALLAH : Berkata Syeikh Said Hawa: “Imam Ibn Juraij berkata: ‘Nabi SAW bersabda: Mereka diarahkan menyembelih sebarang lembu (yang mudah diperoleh) tetapi mereka mempersulit isu maka Allah timpakan kesulitan ke atas mereka.. Jika tidaklah mereka berkata Insya-Allah (rujuk al-Baqarah ayat 70), nescaya mereka tidak akan mendapat penyelesaian sehingga bila-bila’.” (al-Asas fit Tafsir 1/161)

    • JANGAN SULITKAN BAB AGAMA TANPA KEPERLUAN : Berkata Syeikh Said Hawa: “Jauhilah daripada mempersulit dalam urusan agama. Bersegeralah untuk mematuhi perintah agama dan meninggalkan larangannya tanpa melarut dengan soal jawab dan terlalu hendak menghalusi”. (al-Asas fit Tafsir 1/161)  Berkata Hamka: “Sayidina Umar bin Khathab RA, kalau orang datang bertanya suatu masalah, selalu beliau bertanya pula: Yang engkau tanyakan itu pernah kejadian atau tidak? Kalau tidak, disuruhnya orang itu berhenti bertanya, kerana tidak ada gunanya”. (Tafsir al-Azhar 1/224)

 

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (Disempurnakan pada 23 Syawal 1444 H, Bersamaan 14/05/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.   

 

       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  • Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
  • Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  • Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  • Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  • Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  • A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  • Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992