PENDAHULUAN OLEH DATO’ DR DANIAL BIN ZAINAL ABIDIN
(SEJARAH KELAS TAFSIR DI PULAU PINANG BERSAMA DATO DR DANIAL)
Syukur kepada Allah kerana mengizinkan penghasilan usaha yang kerdil ini. Usaha ini memanfaatkan ilmu dan penjelasan yang disampaikan oleh Dato Dr. Danial melalui kelas tafsir beliau yang diadakan pada petang hari Ahad yang telah pun berjalan selama lebih daripada 30 tahun. Kelas ini pada permulaannya diadakan di Masjid Sungai Ara Pulau Pinang, kemudian di Balai Raya Sungai Nibong, kemudian berpindah ke Tapak Pesta Pulau Pinang, dan sekarang di Surau al-Fateh, Kompleks Belia dan Sukan, Batu Uban Pulau Pinang. Tafsir 30 juzuk al-Quran telah selamat disempurnakan lebih kurang pada tahun 2020, selepas 30 tahun kelas berjalan. Sekarang kelas bersama Dato Dr Danial mengulangi tafsir al-Quran semula bermula daripada surah al-Fatihah.
Bahan-bahan asas yang disampaikan oleh beliau telah dicatat oleh beberapa orang pelajar kelas tafsir ini, antara yang paling prolifik ialah Puan Afifah bt Mohamed Nasurdin. Bahan-bahan itu kemudian diolah semula dan ditambah dengan beberapa perincian serta rujukan agar ia boleh menjadi bahan rujukan kepada sesiapa yang ingin memahami Kalam Allah SWT. Usaha ini akan dipertingkatkan, biiznillah, secara berterusan dan semoga akhirnya tafsiran setiap ayat akan dapat disempurnakan. Dalam mengetengahkan bahan-bahan tafsir al-Quran ini, beberapa noktah perlu difahami:
-
- Usaha untuk memahami ayat-ayat al-Quran (untuk tujuan tadabur dan seumpamanya), tidak boleh dilakukan secara semberono, apatah lagi oleh orang-orang awam yang tidak menguasai bahasa Arab serta tidak menguasai ilmu berkaitan metodologi mentafsir al-Quran, seperti ilmu Ulum al-Quran.
-
- Haram mentafsir al-Quran secara semberono. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh sahabat Abdullah ibn Abbas RA, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berkata sesuatu tentang al-Quran dengan menggunakan pendapatnya sendiri maka bersiap sedialah mengambil tempatnya dalam neraka”. (HR Tirmizi No. 2951) Terdapat juga peringatan keras oleh para sahabat Nabi RA berhubung perkara ini. Contoh, sahabat Abu Hurairah RA berkata: “Sesiapa mentafsir al-Quran menurut pendapatnya sendiri, sekiranya (tafsiran) itu betul, dia tidak mendapat pahala. Sekiranya tafsiran tersebut silap, akan dipadamkan cahaya dari jantung hatinya”. (rujuk Irsyad al-fatwa siri ke- 282 : hukum tafsir al-quran menurut pendapat sendiri, muftiwp.gov.my)
-
- Dalam penulisan ini, usaha dilakukan untuk memberikan kefahaman berkaitan setiap ayat al-Quran. Untuk tujuan itu beberapa kitab tafsir telah digunakan, iaitu : 1- Tafsir al-Quran al-‘Azim atau Tafsir Ibn Kathir (rujukan utama). 2- Tafsir al-Jamik li Ahkamil Quran atau Tafsir Imam Qartubi (rujukan utama). 3- Al-Asas fi at-Tafsir oleh Syeikh Said Hawa (rujukan utama). 4- Tafsir Al-Azhar oleh Hamka (rujukan utama). 5- Kitab-kitab tafsir yang lain sebagai rujukan tambahan seperti Tafsir Ruh al-Ma’ani oleh Imam al-Alusi, Fi Zilalil Quran oleh Syed Qutub dan lain-lain lagi.
-
- Kitab-kitab rujukan berkaitan Ulum al-Quran langsung tidak dikesampingkan kerana perbincangan tentang tafsir dan tadabbur al-Quran tidak akan lengkap tanpa memahami dan merujuk kepada ilmu Ulum al-Quran. Dengannya aspek-aspek penting berkaitan al-Quran diketahui, adab dan metodologi pentafsiran serta perbincangan berhubung ayat-ayat al-Quran dipatuhi, serta sikap berhati-hati dengan pandangan yang dikaitkan dengan hadis-hadis Israiliyat apatah lagi hadis-hadis palsu, akan terserlah. Untuk tujuan itu beberapa kitab telah dimanfaatkan, antaranya, Mabāhith fi ‘Ulūm al-Qur’ān oleh Syeikh Manna’ al-Qaṭṭān, at-Tibyan fi Ulum Al-Quran oleh Syeikh Mohamad Ali As-Sobuni dan Israiliyyat dan Hadith Palsu Dalam Kitab-kitab Tafsir (terjemahan Hasnan bin Kasan) oleh Dr Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah.
-
- Rujukan-rujukan tambahan dalam bidang ilmu yang pelbagai juga akan dimanfaatkan untuk mengembangkan lagi kefahaman berhubung sesuatu bidang yang difokuskan al-Quran. Sebagai contoh, ayat 2 dalam surah al-Insan menyebutkan tentang kejadian manusia daripada nuthfah (mani) yang bercampur. Maka rujukan dalam bidang sains embriologi akan dimanfaatkan untuk memperincikan lagi kenyataan ini. Begitulah seterusnya.
-
- Diizinkan untuk sesiapa saja memanfaatkan bahan penulisan ini dengan syarat dicatatkan sumber pengambilannya daripada laman web ini sebagai rujukan. Terima kasih.
Susunan / Nukilan al-Faqir,
Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin,
(M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
(Disempurnakan pada 30/1/23)
COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.