Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

(JUZUK 1) SURAH AL-BAQARAH, TAFSIR AYAT 26-29

PERUMPAMAAN DENGAN NYAMUK?.. KRONOLOGI KEMUSAFIRAN KEHDUPAN MANUSIA.. KRONOLOGI PENCIPTAAN LANGIT DAN BUMI (KAITANNYA DENGAN SAINS).. MENGENALI GOLONGAN FASIK

TAFSIR AYAT 26 SURAH AL-BAQARAH (2:26) 

إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلا يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلا الْفَاسِقِينَ (26)

“Sesungguhnya Allah tiada malu membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah daripada itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar daripada Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan, ‘Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?’ Dengan perumpamaan itu ramai orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu ramai orang yang diberi-Nya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasiq”. (al-Baqarah 2:26)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 26 SURAH AL-BAQARAH: (PERUMPAMAAN MENGGUNAKAN NYAMUK?) 

Berkata Hamka: “Dalam wahyu Tuhan, Allah membuat pelbagai perumpamaan. Tuhan mengumpamakan orang yang mempersekutukan Allah laksana labah-labah yang membuat sarang, sedangkan sarang labah-labah adalah sangat rapuh (al-Ankabut 29:41). Tuhan pernah membuat perumpamaan dengan lalat. Bahawa yang disembah oleh orang-orang musyrik jangankan mencipta alam, malah mencipta lalat pun mereka tidak mampu (al-Haj 22:73). Demikian juga perumpamaan yang lain-lain. Maka orang-orang munafik tidaklah memperhatikan isi, tetapi hendak mencari kelemahan pada perumpamaan yang dikemukakan itu. Kata mereka, misal-misal itu adalah perkara kecil dan remeh.. Maka turunlah ayat ini: “Allah tidaklah malu membuat perumpamaan apa saja, nyamuk atau yang lebih kecil daripadanya”. (Tafsir al-Azhar 1/146)

  • SIKAP TERHADAP KENYATAAN ALLAH : Allah berfirman: ‘Adapun orang-orang beriman, maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar daripada Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan, ‘Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?’ (2:26).  Berkata Imam Ibn Kathir: “Imam Mujahid berkata, maksud ayat, semua perumpamaan — baik yang kecil mahu pun yang besar — bagi orang-orang mukmin mereka beriman kepadanya dan mereka mengetahui bahawa hal itu merupakan perkara hak dari Tuhan mereka, dan melaluinya Allah memberi petunjuk kepada mereka.. Imam Qatadah berkata, orang-orang yang beriman mengetahui dengan yakin bahawa perumpamaan tersebut adalah Kalam ar-Rahman dan datang dari sisi Allah. Hal yang semisal telah diriwayatkan daripada al-Hasan serta ar-Rabi’ ibn Anas”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/65)
  • KESAN KENYATAAN ALLAH TERHADAP MANUSIA : Allah berfirman: ‘Dengan perumpamaan itu ramai orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) ramai orang yang diberi-Nya petunjuk’ (2:26). Berkata Imam Ibn Kathir: “Daripada Ibn Abbas, Ibn Mas’ud dan sejumlah sahabat RA, yang dimaksudkan dengan ramai yang disesatkan ialah orang-orang munafik, sedangkan ramai yang diberi-Nya petunjuk ialah orang-orang mukmin. Dengan demikian, makin bertambahlah kesesatan orang-orang munafik di samping kesesatan mereka yang telah sedia kerana mendustakan perumpamaan yang telah dibuat oleh Allah untuk menggambarkan keadaan diri mereka sendiri.. Melalui perumpamaan ini Allah memberi petunjuk kepada ramai orang beriman dan mereka yang mempercayainya. Dengan itu Allah menambahkan petunjuk kepada mereka di samping petunjuk yang telah sedia ada pada diri mereka”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/65)
  • NYAMUK TIDAK KERDIL : Berkata Hamka: “Di zaman moden kita ini sudahlah orang tahu bahawa perkara nyamuk atau agas, bukanlah perkara kecil. Lalat pun bukan lagi perkara kecil. Demikian mikroskop telah meneropong hama-hama yang sangat kecil, beratus ribu kali lebih kecil daripada nyamuk dan lalat. Nyamuk malaria, nyamuk penyakit kuning (dan yang lain-lain) menghasilkan bahaya lebih besar daripada bahaya singa dan harimau”. (Tafsir al-Azhar 1/147)
  • Mengikut CNN (5/2/2016), nyamuk merupakan ‘the deadliest animal in the world,’ haiwan paling membunuh di dunia, dan telah membunuh lebih ramai manusia berbanding haiwan-haiwan yang lain. Mengikut WHO, nyamuk menjadi penyebab kepada 725,000 kematian setiap tahun melalui penyakit-penyakit berpunca daripada nyamuk.
  • KESESATAN BAGI ORANG FASIQ : Allah berfirman: ‘Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasiq’ (2:26). Berkata Imam Ibn Kathir: “Makna fasiq mencakupi orang kafir dan orang derhaka, tetapi kefasiqan orang kafir lebih kuat dan lebih parah. Makna yang dimaksudkan dengan istilah ‘fasiq’ dalam ayat ini ialah orang kafir”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/65)
  • ORANG ISLAM JENIS FASIQ : Terdapat orang Islam yang dihukum fasiq. Para ulama fikah mendefinisikan mereka sebagai: “Orang-orang yang telah melakukan dosa-dosa besar atau telah melakukan dosa-dosa kecil secara berterusan”. (al-Asas fit Tafsir 1/99)

                                                 …………………………………………………………………………………………

TAFSIR AYAT 27 SURAH AL-BAQARAH (2:27)

الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأرْضِ أُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ (27)

(Iaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi. (al-Baqarah 2:27)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 27 SURAH AL-BAQARAH: (CIRI-CIRI GOLONGAN FASIQ)

Berkata Imam Ibn Kathir, “(Golongan yang fasiq) ini lalah golongan munafik. Berkata Imam Abul Aliyah, mereka ialah golongan nifaq.. (Seterusnya berkata Imam Ibn Kathir), makna fasiq mencakupi orang kafir dan orang derhaka, tetapi kefasiqan orang kafir lebih kuat dan lebih parah. Makna yang dimaksudkan dengan istilah ‘fasiq’ dalam (ayat 26) ialah orang kafir”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/65)

  • ORANG FASIQ MELANGGAR PERJANJIAN DENGAN ALLAH : Allah berfirman : “Orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh”. Berkata Syeikh Said Hawa: “Perjanjian dengan Allah itu sama ada dalam bentuk suatu kesedaran yang telah Allah tanam dalam akal manusia dalam bentuk hujah yang menjurus kepada mentauhidkan Tuhan. Atau pun perjanjian itu wujud dalam bentuk perutusan Rasul-rasul yang mendatangkan mukjizat-mukjizat sebagai bukti tentang kebenaran mereka, agar manusia dengan itu akan beriman dengan Rasul-rasul itu. Atau pun perjanjian itu dalam bentuk agar tidak menumpahkan darah seseorang secara zalim, atau pun dalam bentuk tidak melakukan kerosakan, perbuatan yang melampaui batas serta memutuskan silaturahim di muka bumi”. (al-Asas fit Tafsir 1/99)
  • PERJANJIAN TELAH PUN BERLAKU? : Secara dasarnya perjanjian manusia dengan Allah memang telah berlaku. Berkata Imam Ibn Kathir: “Ahli tafsir yang lainnya berkata bahawa janji yang disebutkan oleh Allah SWT ialah janji yang diambil oleh Allah terhadap mereka di saat Allah mengeluarkan mereka dari sulbi Adam. Hal ini digambarkan melalui firman-Nya (al-A’raf 7:172): وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى [شَهِدْنَا : ‘Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab: Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi’.” (Tafsir al-Al-Quran al-Azim 1/66)
  • ORANG FASIQ MEMUTUSKAN YANG SEPATUTNYA DIHUBUNGKAN : (Mereka) memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya”. Berkata Imam Ibn Kathir: “Menurut satu pendapat, yang dimaksudkan ayat ini ialah ‘hubungan silaturahim dan hubungan kekerabatan’, seperti yang ditafsirkan oleh Imam Qatadah. Pendapatnya itu didukung oleh Imam Ibn Jarir dan dinilainya kuat. Menurut pendapat yang lain, yang dimaksudkan adalah lebih umum daripada itu, yakni mencakupi semua hal yang diperintahkan Allah untuk dihubungkan dan dilaksanakan, kemudian mereka memutuskannya dan meninggalkannya”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/66)
  • ORANG FASIQ MEMBUAT KEROSAKAN (FASAD) DI MUKA BUMI : (Dan mereka membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi”. Berkata Syeikh Said Hawa: “Antara manifestasi kerosakan (fasad) yang paling menonjol di muka bumi ialah seruan kepada kekafiran, seruan kepada kemaksiatan dan kekejian, serta usaha memesongkan iman”. (al-Asas fit Tafsir 1/100) “Mereka itulah orang-orang yang merugi”. Berkata Hamka: “Sebab mereka telah berjalan di luar garis kebenaran. Rugilah mereka kerana kehinaan di dunia dan azab di akhirat”. (Tafsir al-Azhar 1/148)
  • KESIMPULAN : Keimanan kepada al-Quran ialah keimanan secara keseluruhan terhadap Kalam Allah, sama ada yang berkaitan dengan hukum hakamnya, perumpamaan dan bidalan yang terdapat dalamnya, atau pun cerita-cerita yang dipaparkan olehnya. Semuanya diimani sebagai Kalam Allah. Panduan Kalam Allah membawa kita kepada kesejahteraan. Tanpanya kita bakal jatuh ke dalam lembah kefasiqan. Berkata Hamka: “Yang timbul dalam hati kita ialah pertambahan iman bahawa al-Quran ini memang diturunkan untuk seluruh masa dan untuk orang yang berfikir dan mencintai ilmu pengetahuan. Orang-orang kafir itu menjadi sesat dan fasiq karena bodohnya.. Orang yang telah fasiq, yang telah terpesona dengan haluan bahtera hidupnya (yang terbabas) dari tujuan yang benar, akan tenggelamlah dia ke dalam kesengsaraan batin, yang walaupun sebesar gunung emas persediaannya, tidaklah akan dapat menolongnya. Adakah (wujud) rugi yang lebih daripada ini?” (Tafsir al-Azhar 1/149)

                                          …………………………………………………………………………………………………

TAFSIR AYAT 28 SURAH AL-BAQARAH (2:28)

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (28)

“Mengapa kamu kafir kepada Allah, padahal kamu tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya kembali, kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan”. (al-Baqarah 2:28) 

TAFSIR-TADABBUR AYAT 28 SURAH AL-BAQARAH: (KRONOLOGI KEMUSAFIRAN KITA)

Berkata Hamka: “Cubalah fikirkan kembali daripada tidak ada, kamu telah Dia adakan.. Terbentuklah mani dalam sulbi ayahmu dan taraib ibumu.. Kemudian kamu dalam rahim ibumu selama sekian bulan lalu diberi akal. Kamu mengembara di permukaan bumi berusaha mencukupkan keperluan hidup. Kemudian dicabut nyawamu.. Kemudian Dia hidupkan kamu semula. Itulah hidup yang kedua.. Iaitu hidup yang lebih tinggi dan lebih mulia”. (Tafsir al-Azhar 1/149)

  • Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah SWT berfirman membuktikan keberadaan dan kekuasaan-Nya, bahawa Dialah Yang Maha Pencipta dan Yang Mengatur hamba-hamba-Nya. Untuk itu Allah SWT berfirman, ‘Kaifa takfuruna billah’ ertinya ‘mengapa kamu mengingkari keberadaan Allah, atau mengapa kamu menyembah selain-Nya’. Kemudian disebutkan pula, ‘Wakuntum amwatan fa-ahyakum’ ertinya ‘padahal kamu tadinya tidak ada, lalu Allah menciptakan kamu ke alam wujud’ (2:28).. Imam Ibn Juraij meriwayatkan daripada Ata’, daripada Ibn Abbas RA, bahawa kamu tadinya mati dalam tulang sulbi ayah-ayah kamu. Saat itu kamu bukan merupakan sesuatu apa pun sebelum Allah menciptakan kamu. Setelah Allah menciptakan kamu, kemudian Dia mematikan kamu sebagai suatu kepastian atas diri kamu. Kemudian Allah menghidupkan kamu pada hari kebangkitan, iaitu di saat Dia SWT menghidupkan kamu di Hari Kiamat”. (Tafsir al-Quran al-Azim 1/67)

                                                 …………………………………………………………………………………………..

TAFSIR AYAT 29 SURAH AL-BAQARAH (2:29)

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الأرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (29)

“Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu, kemudian menghadaplah Dia ke langit, lalu Dia jadikan dia tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”. (al-Baqarah 2:29)

TAFSIR-TADABBUR AYAT 29 SURAH AL-BAQARAH: (DIJADIKAN APA YANG DI BUMI INI UNTUK  KITA)

Berkata Hamka: “Alangkah besar dan agung Kudrat Sang Pencipta, dan alangkah besar Rahman dan Rahim yang terkandung di dalamnya. Semuanya ini bukan untuk orang lain, tetapi untuk kamu, untuk kamu sahaja, wahai manusia! Sehingga air yang mengalir, lautan yang terbentang, kayu yang tumbuh di hutan, batu di sungai, pasir di pantai – untuk kamu! Binatang ternak, ikan di laut – untuk kamu. Dan bila kamu gali bumi selapis dua lapis, bertemulah kekayaan, entah minyak tanah, uranium, besi dan segala macam logam – untuk kamu! Dan diberi alat untuk mengambil manfaat dari sekalian pemberian rahmat, nikmat dan kurniaan itu, iaitu akal, ilmu dan pengalaman kamu”. (Tafsir al-Azhar 1/150) 

  • KRONOLOGI KEJADIAN LANGIT DAN BUMI : Allah berfirman: ‘Kemudian (selepas kejadian bumi) menghadaplah Dia ke langit, lalu Dia jadikan dia tujuh langit’ (2:29). Imam Ibn Kathir berkata: “Ayat  ini menunjukkan bumi diciptakan terlebih dahulu  sebelum langit”. (Shahih Tafsir Ibnu Katsir 1/197) Namun Syeikh Said Hawa mempunyai pandangan yang agak berbeza.  Berkata Syeikh Said Hawa: “Nas al-Quran menyebutkan dengan jelas bahawa langit dan bumi dicipta dalam enam masa. Namun tidak terdapat nas al-Quran dan Sunnah yang menjelaskan perincian tentang enam masa ini. Dan tiada nas tentang pertanda yang menjadi penentu tentang selesainya sesuatu masa yang telah ditetapkan itu, dalam proses kejadian langit dan bumi.. Kajian ilmuwan sains menunjukkan alam dengan segala galaksinya telah wujud lebih daripada 10 bilion tahun dahulu, dan umur matahari dan bumi kita hanya lebih kurang 4.5 bilion tahun dahulu. Ia bermaksud umur bumi lebih muda berbanding kebanyakan yang terdapat di langit dan ia bermaksud langit datang lebih dahulu daripada bumi. (Kenyataan ini) bakal melahirkan kekeliruan di kalangan pengkaji (Muslim) kerana al-Quran mengatakan langit dicipta selepas penciptaan bumi. Antara sebab kekeliruan itu ialah mereka tidak dapat membezakan antara kalimat langit السَّمَاءَ dengan maksud umum, dengan tujuh lapisan langit سَبْعَ سَمَاوَاتٍ dengan maksud khusus. Al-Quran menyatakan dengan jelas bahawa ‘tujuh lapisan langit’ secara khusus diciptakan selepas penciptaan bumi. Namun al-Quran juga menyatakan (dalam ayat lain) bahawa bumi diciptakan selepas penciptaan langit secara umum.. Sebahagian pengkaji berpendapat tujuh lapisan langit ialah langit yang terdapat padanya pelbagai galaksi dan bintang-bintang, dan ini merupakan suatu kesilapan! Penggunaan kalimat langit dalam al-Quran kadangkala bermaksud ‘segala apa yang berada di atas,’ seperti bintang, udara, galaksi dan seumpamanya. Dan kadangkala ia bermaksud ‘langit yang tujuh’ yang berkait rapat dengan para malaikatnya, yang menjadi tempat di angkat roh para Mukmin, yang menjadi tujuan mikraj ar-Rasul SAW, yang di atasnya terdapat syurga dan di atas segalanya adalah Arasy.. (al-Asas fit Tafsir 1/108-109)
  • BERKAIT DENGAN AYAT DALAM SURAH AN-NAZIAT : Hal ini perlu dikaitkan dengan firman Allah yang terdapat dalam surah an-Naziat 79:27-30: أَأَنْتُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمِ السَّمَاءُ بَنَاهَا 27  رَفَعَ سَمْكَهَا فَسَوَّاهَا 28 وَأَغْطَشَ لَيْلَهَا وَأَخْرَجَ ضُحَاهَا 29 وَالْأَرْضَ بَعْدَ ذَلِكَ دَحَاهَا 30 (“Apakah kamu yang lebih sulit penciptaannya atau langit? Allah telah membangunnya (langit). Dia meninggikan bangunannya, lalu menyempurnakannya, dan Dia menjadikan malamnya gelap-gelita dan menjadikan siangnya terang benderang. Dan bumi sesudah itu dihamparkan-Nya”. Berkata Syeikh Said Hawa: “Ayat ini menunjukkan bumi dihamparkan selepas penciptaan langit. Yang dapat difahami daripada ini ialah, ‘langit yang tujuh’ yang telah kita bicarakan sebelum ini, penciptaannya adalah selepas penciptaan bumi. Adapun langit yang terdapat padanya galaksi dan seumpamanya, penciptaannya adalah sebelum penciptaan bumi. Aku (Syeikh Said Hawa) juga mendapati Imam al-Alusi melaporkan dalam kitab tafsir beliau pandangan daripada tokoh-tokoh Islam, yang selari seperti mana yang telah disebutkan ini.. Jelas sekali al-Quran menetapkan bahawa penciptaan galaksi-galaksi wujud lebih awal berbanding penciptaan bumi. Ini antara tanda mukjizat al-Quran”. (al-Asas fit Tafsir 1/109-110)
  • KESIMPULAN: Renungan berhubung kejadian diri kita sebagai insan, ditambah dengan mengkaji penciptaan langit dan bumi mampu menyedarkan kita tentang keagungan Tuhan. Apabila renungan, analisis dan kajian kita itu dikaitkan dengan al-Quran ia mampu menyuntik iman di hati, kerana al-Quran merupakan mukjizat. Antara penonjolan mukjizatnya ialah di sudut penemuan-penemuan saintifik tertentu yang terdapat isyarat dan kenyataannya di dalam al-Quran. Dr Gary Miller, sebagai contoh, merupakan seorang pakar matematik serta seorang aktivis Kristian dari Kanada. Pada tahun 1977 beliau ingin mencari dan mendedahkan kelemahan serta kesilapan al-Quran. Namun pada tahun 1978 beliau memeluk Islam dan mengarang sebuah buku bertajuk ‘The Amazing Quran’. Buku ini mengungkapkan penemuan-penemuan saintifik pada hari ini yang telah dinyatakan oleh al-Quran sejak awal lagi. Aspek ini telah mengagumkan beliau terhadap al-Quran dan memberi kesan besar ke arah perubahan beliau kepada Islam. (//aboutislam.net/reading-islam/my-journey-to-islam/the-mathematician-who-challenged-quran/)

 

       Susunan / Nukilan al-Faqir,
       Dato’ Dr. Danial bin Zainal Abidin, (M.B.Ch.B, University of Alexandria)
       Georgetown, Timur Laut, Pulau Pinang.
       (Disempurnakan pada 12 Rejab 1444 H, 03/02/23)

  • COPYRIGHT DATO DR DANIAL.. Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.   


       RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  • Tafsir al-Azhar, Hamka, Yayasan Nurul Islam, Indonesia, 1984
  • Al-Jamik li Ahkamil Al-Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
  • Tafsir al-Al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir, Darul Fikr, Kaherah.
  • Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, Imam Ibn Kathir (terjemahan oleh Tim Pustaka Ibnu Katsir, daripada kitab ‘Al-Misbahul Munir fi Tahzib Tafsir Ibn Kathir’.
  • Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Darul Salam, Mesir, 1985.
  • A Dictionary of Modern Written Arabic, Hans Wehr, London: Macdonald & Evans Ltd, 1974.
  • Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1992.