Selamat Datang ke Laman Rasmi Dato' Dr. Danial Zainal Abidin

JUMLAH KESELURUHAN AYAT AL-QURAN

JUMLAH JUZUK, SURAH DAN AYAT-AYAT AL-QURAN

Al-Quran merupakan Kalam Allah dan Kitab Allah yang terakhir, diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW. Penurunannya memakan masa lebih kurang 23 tahun, iaitu 13 tahun sebelum hijrah dan 10 tahun selepas hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah. Keutamaannya mengatasi kesemua kitab yang lain yang telah Allah SWT turunkan sebelum ini. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, tafsir surah ar-Ra’d 13:31)

Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

“Sesungguhnya Kami Yang Menurunkan az-Zikr (iaitu al-Quran) dan Kamilah yang Memeliharanya”. (al-Hijr 15:9).

Berhubung ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata: “Allah SWT menetapkan bahawa Dialah yang menurunkan al-Quran, dan Dialah SWT yang memeliharanya daripada perubahan dan penggantian”. (Rujuk Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir)   

JUMLAH  SURAH DAN AYAT AL-QURAN

Al-Quran mempunyai 30 juzuk, dan 114 surah. Sebahagian ulama mengatakan jumlah surah ialah 113 kerana surah al-Anfal dan at-Taubah dikira sebagai satu surah. Apatah lagi permulaan surah at-Taubah tidak dimulai dengan Bismillah. Namun majoriti ulama mengatakan al-Anfal dan at-Taubah adalah dua surah yang berbeza. Imam Qartubi menukilkan riwayat daripada sahabat Abdullah bin Abbas RA, ketika beliau bertanya kepada Saidina Ali RA berkenaan lafaz Basmalah tidak ditulis pada awal surah al-Taubah, Saidina Ali RA menyatakan bahawa lafaz Basmalah merupakan lafaz keamanan dan surah at-Taubah diturunkan kerana peperangan. (Rujuk al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi)

Namun perbezaan pendapat ini tidak mengubah isi al-Quran. Isi-isinya tetap sama dan tidak berubah. Adapun jumlah ayat, disebutkan dalam Tafsir Ibn Kathir:

فأما عدد آيات القرآن فستة آلاف آية . ثم اختلف فيما زادعلى ذلك على أقوال و فمنهم من لم يزد على ذلك ، ومنهم و من قال : ومائتا آية و أربع آيات . وقيل : وأربع عشرة آية وقيل : ومائتان وتسع عشرة ، وقيل : ومائتان وخمس م و عشرون أية ، وست و عشرون أية ، وقيل : ومائتا آية و ست وثلاثون آية . حكى ذلك أبو عمرو الداني في كتاب البيان وأما كلماته ، فقال الفضل بن شاذان ، عن عطاء بن يسارسبع وسبعون ألف كلمة و أربعمائة و تسع وثلاثون كلمة

“Jumlah ayat dalam al-Quran adalah lebih daripada 6000 ayat. Tentang berapakah lebihnya, ulama berbeza pendapat. Ada yang berpendapat jumlahnya ialah 6204 ayat, 6014 ayat, 6219 ayat, 6225 ayat, 6026 ayat, dan 6036 ayat. Keterangan ini adalah sebagaimana yang diceritakan Abu ‘Amru ad-Dany dalam kitab al-Bayan. Adapun kalimat-kalimat al-Quran, menurut al-Fadl bin Syaazan daripada ‘Atho ibn Yasar, jumlahnya ialah 77,439 kalimat.”  (Tafsir Ibn Katsir, juz 1, hal 98)  

Adapun jumlah huruf al-Quran, Imam Ibn Kathir berkata:

وأما حروفُه، فقال عبد الله بن كثير، عن مجاهد: هذا ما أحصينا من القرآن وهو ثلاثُمائِة ألفِ حرف وواحدٌ وعشرون ألفَ حَرْفٍ ومائَةٌ وثمانونَ حرفًا.

“Adapun jumlah hurufnya, diriwayatkan oleh Abdullah bin Kathir, daripada Mujahid, beliau berkata, ‘Yang kami hitung daripada al-Quran, jumlah hurufnya ialah 321,180 huruf’.” (Tafsir Ibn Katsir, 1/98)

Berhubung perbezaan ulama tentang jumlah ayat al-Quran, hal ini juga dinukilkan oleh Imam as-Sayuthi. (Rujuk al-Itqan Fi Ulum al-Quran, Imam Sayuthi,  jilid 1, hal. 209)

Adapun pendapat yang mengatakan jumlah ayat al-Quran ialah 6236 ayat, ia disebutkan oleh al-Kufi, daripada riwayat Abu Amr ad-Dany, melalui jalur Hamzah bin Hubaib yang bersambung hingga kepada sahabat Ali bin Abi Talib RA.

Jumlah 6,236 ayat al-Quran ini menjadi jumlah yang ramai gunakan pada hari ini, sebagai contoh di Arab Saudi dan Indonesia.

SEBAB PERBEDAAN PENDAPAT JUMLAH AYAT

Sebenarnya perbezaan pendapat berhubung jumlah ayat al-Quran hanyalah perbezaan pendapat berhubung jumlah ayat. Bukan perbezaan pendapat berhubung al-Quran, sebab al-Quran yang digunakan adalah sama. Yang berbeza adalah cara menghitung ayat. Ada yang menghitung dua ayat menjadi satu, dan sebaliknya, dan begitulah seterusnya.

Antara faktor penyebab terjadinya perselisihan pendapat mengenai jumlah ayat al-Quran ini ialah:   

  1. Rasulullah SAW diriwayatkan kadangkala berhenti membaca sesuatu ayat dan menarik nafas. Pada saat itu timbul pandangan oleh sebahagian ulama bahawa ketika Nabi SAW menarik nafas, di situlah ayat itu berhenti dan habis. Sambungan ayat itu dikira sebagai ayat yang lain. Sementara ulama yang lain berpandangan Nabi SAW sekadar berhenti menarik nafas dan tidak ada kaitannya dengan berhentinya sesuatu ayat.
  • Berhubung dengan Basmalah di awal surah. Ada yang menghitungnya sebagai ayat, dan ada yang tidak, kecuali Basmalah di awal surah al-Fatihah. Dan begitulah seterusnya.. (Rujuk Az-Zarqani, Manahil al-Irfan fi Ulum Al Quran, jilid 1)

KESIMPULAN

Al-Quran yang diimani oleh umat Islam sejak dahulu adalah sama versinya, iaitu yang disampaikan oleh Nabi SAW, yang kemudiannya ia ditulis secara mutawatir di samping dihafaz, dan kekal keadaannya hingga sekarang.

Perbezaan ulama tentang jumlah ayat hanyalah perbezaan di sudut cara mengira ayat-ayat yang sedia ada dalam al-Quran. Ia berbeza, contohnya, berbanding agama Kristian. Golongan Kristian Katolik berpegang kepada versi Bible yang mempunyai 73 bab (books) dalamnya. Sedangkan golongan Kristian Protestan berpegang kepada versi Bible yang mengandungi 66 bab (books) dalamnya.

Adapun umat Islam, versinya adalah sama sejak dahulu lagi.

Oleh:

Dato Dr Danial Zainal Abidin,

(M.B.Ch.B, University of Alexandria)

Glugor, Penang, Malaysia

20/1/2023

  • Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.

RUJUKAN (REFERENSI) UTAMA:

  1. Al-Itqan fi Ulum Al-Quran, Iamam as-Sayuthi, Kairo; Dar al-Hadits
  2. Manahil Al-Irfan fi Ulum Al-Quran, Imam az-Zarqani, Kairo, Dar Al-Hadits.
  3. https://bincangsyariah.com/khazanah/jumlah-ayat-dan-kata-dalam-al-quran/