Membaca al-Quran termasuk melalui aplikasi al-Quran dalam telefon bimbit adalah suatu yang baik, kerana membaca al-Quran merupakan ibadah yang disukai agama. Memanfaatkan teknologi untuk mendekatkan diri kepada Allah merupakan satu amalan yang terpuji. Apatah lagi, al-Quran boleh diibaratkan sebagai sebuah Peta Agung Ilahi yang mampu membimbing manusia menuju kebahagiaan hakiki. Tiada peta seumpamanya. Allah berfirman:
إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا
“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.” (al-Israk 17:9)
HUKUM MENYENTUH MASHAF TANPA WUDUK
Berhubung persoalan menyentuh al-Quran tanpa wuduk, para ulama telah menghukumkannya sebagai haram, melainkan dalam keadaan seseorang itu suci daripada hadas kecil atau besar. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiyyah, 37/276)
Dalilnya ialah firman Allah dalam surah al-Waqi’ah 56:79 yang bermaksud, “Tidak menyentuh (al-Quran) kecuali orang-orang yang suci.”
Berhubung ayat ini, Imam Qartubi berkata, “Para ulama berbeza pendapat tentang hukum menyentuh mashaf tanpa wuduk. Jumhur ulama melarangnya berdasarkan hadis ‘Amru ibn Hazm. Inilah pendapat yang dipegang oleh Ali, Abdullah ibn Mas’ud, Saad ibn Waqqas, Said ibn Zaid, ‘Atha, az-Zuhri, an-Nakhaie, Hammad dan golongan fuqaha’ antaranya Imam Malik, Syafie RA..” (al-Jamik li Ahkam al-Quran, Imam Qartubi)
Hukum haram menyentuh Mashaf al-Quran juga adalah berdasarkan hadis ’Amru ibn Hazm yang menyebutkan bahawa Baginda SAW telah menulis surat kepada penduduk Yaman dengan pesanan, “Tidak boleh menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci.” (Riwayat Daruquthni no. 449. Hadis ini dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani dalam al-Irwa’ no. 122)
Imam Nawawi menegaskan, diharamkan seseorang yang berhadas menyentuh mashaf (al-Quran) dan membawanya, sama ada membawanya secara tidak langsung atau secara langsung. Sekiranya ditulis al-Quran pada kayu maka hukumnya adalah seperti hukum mashaf, sama ada tulisan itu sedikit atau banyak. Sekiranya sebahagian ayat (al-Quran) ditulis untuk belajar maka haram menyentuh kayu atau lembaran yang ditulis ayat tersebut. (Rujuk al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran, 1/192)
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN MASHAF?
Yang jelas daripada fatwa para ulama ialah, seseorang yang berhadas diharamkan daripada menyentuh dan membawa mashaf al-Quran. Justeru perlu difahami maksud mashaf al-Quran.
Berhubung dengan ini, Syeikh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani berkata:
وَالْمرَاد بالمصحف كل مَا كتب فِيهِ شَيْء من الْقُرْآن بِقصد الدراسة كلوح أَو عَمُود أَو جِدَار
“Yang dimaksudkan dengan Mashaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran seperti kayu atau tiang atau dinding.” (Rujuk Nihayah al-Zain, hlm. 32)
Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, mashaf adalah sesuatu yang ditulis padanya kalam Allah SWT di antara dua kulit. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/5)
Justeru, mashaf adalah sesuatu yang ditulis di atasnya ayat al-Quran. Adapun al-Quran yang dibuka melalui aplikasi dalam telefon pintar (yang akan hilang ketika aplikasi itu ditutup) tidak termasuk dalam kategori mashaf yang ditulis sebagaimana yang ditakrifkan oleh para ulama.
Begitulah yang disebutkan oleh Syeikh Ali Jumaah, mantan mufti Mesir, bahawa menyentuh telefon bimbit bertujuan untuk membaca al-Quran tanpa wuduk adalah diharuskan kerana ia bukan mashaf seperti yang disebut oleh para ulama. (https://www.elbalad.news/4073020)
Demikian juga yang disebutkan oleh Syeikh Prof. Dr. Kholid Al-Musyaiqih, “Handphone yang memiliki aplikasi al-Quran tidak dihukum seperti hukum mashaf al-Quran. Handphone seperti ini boleh disentuh meskipun tidak dalam keadaan bersuci.” (Fiqh An Nawazil fil ‘Ibadah, Syaikh Prof. Dr. Kholid bin ‘Ali Al Musyaiqih)
Demikianlah juga hukumnya ke atas aplikasi al-Quran yang terdapat di dalam tablet, komputer, laptop dan yang seumpamanya.
MEMBAWA APLIKASI AL-QURAN KE DALAM TANDAS
Membawa telefon yang mempunyai aplikasi atau perisian al-Quran ke dalam tandas dibolehkan kerana ia tidak dihukumkan sebagai mashaf al-Quran.
Imam Ibn Hajar al-Haitami pernah mengutarakan satu pendapat yang relevan dengan isu yang sedang diperkatakan ini. Beliau berkata:
“Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawa (cincin yang bertulis padanya ayat al-Quran), walaupun dengan sengaja, maka sunat untuk menyembunyikannya seperti menggenggamnya dalam tapak tangan.” (Tuhfatul Muhtaj, Imam Ibn Hajar al-Haitami)
Berdasarkan pendapat Imam Ibn Hajar ini bolehlah disimpulkan bahawa diharuskan kita membawa telefon bimbit yang terdapat di dalamnya aplikasi al-Quran ke dalam tandas. Namun seeloknya ketika itu kita tutup aplikasi al-Quran kepada aplikasi yang lain.
Oleh:
Dato Dr Danial Zainal Abidin,
(M.B.Ch.B, University of Alexandria)
Glugor, Penang, Malaysia
14/1/2023
- Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.
- Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi, Dar as-Sya’b, Kaherah.
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – irsyad al-fatwa siri ke-496: bolehkah membaca al-quran di dalam telefon bimbit tanpa berwuduk (muftiwp.gov.my)
