1- PENGENALAN, KELEBIHAN DAN FADILAT SURAH AL-FATIHAH
Surah al-Fatihah mengandungi tujuh ayat. Berkata Hamka, “Fatihah ertinya pembukaan. Surah ini juga dinamai dengan Fatihah al-Kitab, yang bererti pembukaan kitab, karena kitab al-Quran dimulai atau dibuka dengan surah ini. Ia yang memulai tulisan dalam Mashaf.” (Rujuk Tafsir al-Azhar)
Berkata Imam Ibn Kathir, “Surah ini dinamakan al-Fatihah, iaitu, pembuka kitab dalam bentuk tulisan. Ia juga merupakan pembuka kepada solat. Surah ini juga dinamakan sebagai Ummul Kitab menurut jumhur ulama.” (rujuk: Tafsir Ibn Kathir).
Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:
الْحَمْدُ لِلَّهِ أُمُّ الْقُرْآنِ وَأُمُّ الْكِتَابِ وَالسَّبْعُ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنُ الْعَظِيمُ
“Alhamdulillahi rabbil ‘alamin adalah Ummul Qur’an dan Ummul Kitab dan Sab’ul mathani dan al-Quranul ‘azim.” (Riwayat Abu Daud, hadis sahih)
- Berkata Imam Ibn Kathir: SurahAl-Fatihah juga dinamakan sebagai Alhamdu (الْحَمْدُ), dan sebagai as-Solat (الصَّلَاةُ) berdasarkan sebuah hadis qudsi, bahawa Allah berfirman, “Aku bahagikan as-Solat antara Aku dan hamba-Ku, menjadi dua bahagian. Apabila seorang hamba berkata, ‘Alhamdulillahi rabbil ‘alamin’ (Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam), maka Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah memuji-Ku’.” (Riwayat Muslim) Surah al-Fatihah juga disebut sebagai as-Solat kerana ia merupakan syarat dalam solat. Juga dinamakan sebagai as-Syifa’ (الشِّفَاءُ), seperti yang disebutkan dalam riwayat ad-Darimi melalui Abu Sa’id, iaitu (sabda Nabi SAW), “Fatihatul kitab (surahal-Fatihah) merupakan syifa’ (ubat penawar) bagi segala jenis racun”. Surahal-Fatihah juga dikenali dengan nama ar-Ruqyah (الرُّقْيَةُ), sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Abu Sa’id al-Khudri yang sahih iaitu, dia telah membacakannya untuk mengubati seorang lelaki yang terkena sengatan. Kemudian Nabi SAW telah bersabda kepada beliau “Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan ruqyah (jampi)?” (Rujuk Tafsir Ibn Kathir)
- Hamka berkata: Dalam surah 15 (al-Hijr) ayat 87 ada disebut ‘Sab‘an minal mathani iaitu ‘tujuh yang diulang-ulang’. Menurut Ibn Kathir, maksudnya ialah surah al-Fatihah ini juga, sebab al-Fatihah dengan tujuh ayatnya inilah yang diulang- ulangi dalam setiap rakaat solat, baik yang fardu ataupun yang sunat. Oleh sebab itu maka Sab‘ul Mathani, adalah nama surah ini juga. Dalam surah 3 (ali Imran) ayat 7, ada disebut Ummul Kitab, yakni ibu Kitab. Menurut Imam Bukhari Ummul Kitab ini ialah al-Fatihah ini, sebab ia yang mula ditulis dalam sekalian Mashaf dan ia yang mulai dibaca dalam solat. Cuma Ibn Sirin yang kurang setuju kerana dalam surah 13 (ar-Ra‘d) ayat 39 disebutkan bahawa Ummul Kitab sebenarnya berada di sisi Allah.. Namun beberapa ulama lain tidak keberatan (dengan nama Ummul Kitab) kerana ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dia adalah Ummul Kitab, dan dia adalah Fatihatul Kitab dan dia adalah tujuh yang diulang-ulang. ” Penulis Tafsir al-Kasyaf menyebutkan nama-nama lain bagi surah al-Fatihah, iaitu, al-Kanz (perbendaharaan), al-Wafiyah (yang melengkapi), al-Hamd (puji-pujian) dan as-Solah (solat). Dan menurut riwayat as-Tsa‘labi daripada Sufyan bin Uyainah, surah ini dinamakan juga dengan al-Waqiyah (pemelihara daripada kesesatan), dan ia mencukupkan surat-surah yang lain, sedangkan surah-surah yang lain tidak mencukupi tanpanya. (Rujuk Tafsir al-Azhar)
2- MAKKIYAH ATAU MADANIYAH?
Makkiyah bermaksud ayat atau surah yang diturunkan sebelum Hijrah Nabi SAW ke Madinah. Madaniyah bermaksud ayat atau surah yang diturunkan selepas Hijrah baginda SAW.
- Berkata Hamka: “Menurut Ibn Abbas, Qatadah dan Abul Aliyah RA, surah al-Fatihah adalah surah Makkiyah. Menurut pendapat lain ia adalah Madaniyah, seperti yang dikatakan oleh Abu Hurairah, Mujahid, Ata dan az-Zuhri RA. Pendapat lain pula ada mengatakan al-Fatihah diturunkan sebanyak dua kali, pertama di Mekah, dan kedua di Madinah. Abu Laith as-Samarqandi meriwayatkan bahawa separuh daripada surah al-Fatihah diturunkan di Mekah, sedangkan separuh yang lain diturunkan di Madinah. Pendapat ini sangat aneh, dinukilkan oleh Qurtubi”.
- Hamka juga berkata: “Al-Anbari meriwayatkan bahawa dia menerima riwayat daripada Ubadah bin Samit bahawa surat Fatihatul Kitab ini memang diturunkan di Mekah.. Tetapi menjadi lebih kuatlah pendapat golongan yang terbesar tadi bila kita ingat bahawa sembahyang lima waktu mulai difardukan di Mekah, sedang sembahyang itu dianggap tidak sah kalau tidak membaca al-Fatihah.. Maka al-Fatihah sebagai surah yang terdiri daripada tujuh ayat, ialah surah lengkap yang mula-mula sekali turun di Makkah”. (Rujuk Tafsir al-Azhar)
Lantas, surah al-Fatihah adalah Makkiyah, diturunkan sebelum Hijrah Nabi SAW.
3- AL-FATIHAH UNTUK RUQYAH
Telah disebutkan dalam hadis oleh sahabat Abu Sa’id al-Khudri RA:
عَنْ أَبِى سَعِيدٍ الْخُدْرِىِّ أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانُوا فى سَفَرٍ فَمَرُّوا بِحَىٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ يُضِيفُوهُمْ. فَقَالُوا لَهُمْ هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَىِّ لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ نَعَمْ فَأَتَاهُ فَرَقَاهُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَبَرَأَ الرَّجُلُ فَأُعْطِىَ قَطِيعًا مِنْ غَنَمٍ فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهَا. وَقَالَ حَتَّى أَذْكُرَ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم-. فَأَتَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ. فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَاللَّهِ مَا رَقَيْتُ إِلاَّ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ. فَتَبَسَّمَ وَقَالَ « وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ». ثُمَّ قَالَ « خُذُوا مِنْهُمْ وَاضْرِبُوا لِى بِسَهْمٍ مَعَكُمْ »
Daripada Abu Sa’id Al Khudri RA, sekumpulan sahabat Rasulullah SAW sedang bermusafir dan melewati sebuah kampung Arab. Mereka meminta untuk dijamu sebagai tetamu, namun penduduk kampung tersebut enggan untuk menjamu mereka. Penduduk kampung tersebut telah bertanya kepada para sahabat, “Apakah antara kalian ada yang boleh berjampi kerana pembesar kampung tersebut disengat binatang atau ditimpa musibah.” Di antara para sahabat lantas berkata, “Ya ada.” Lalu dia pun mendatangi pembesar tersebut dan dia meruqyahnya dengan membaca surah al-Fatihah. Akhirnya pembesar tersebut sembuh. Lalu yang membacakan ruqyah tadi diberikan seekor kambing, namun dia enggan menerimanya, sehingga kisah tadi diceritakan pada Nabi SAW. Lalu dia mendatangi Nabi SAW dan menceritakan kisahnya tadi. Dia berkata, “Ya Rasulullah, aku tidaklah meruqyah kecuali dengan membaca surah al-Fatihah.” Rasulullah SAW lantas tersenyum dan berkata, “Bagaimana engkau tahu al-Fatihah adalah ruqyah?” Baginda SAW pun bersabda, “Ambil kambing tersebut dari mereka dan potongkan untukku sebahagian daripadanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Hadis ini menjadi dalil tentang keharusan melakukan ruqyah dengan surah al-Fatihah, malah dengan al-Quran secara umumnya. Malah Imam Nawawi telah mengujudkan satu Bab dalam kitab Sahih Muslim tentang bolehnya mengambil upah dari ruqyah menggunakan al-Quran atau zikir.
4- AL-FATIHAH SURAH PALING MULIA
Telah disebutkan dalam hadis oleh sahabat Abu Sa’id bin al-Mu’alla RA, “Rasulullah SAW berkata padaku,
أَلاَ أُعَلِّمُكَ أَعْظَمَ سُورَةٍ فِى الْقُرْآنِ قَبْلَ أَنْ تَخْرُجَ مِنَ الْمَسْجِدِ » . فَأَخَذَ بِيَدِى فَلَمَّا أَرَدْنَا أَنْ نَخْرُجَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ قُلْتَ لأُعَلِّمَنَّكَ أَعْظَمَ سُورَةٍ مِنَ الْقُرْآنِ . قَالَ ( الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ) هِىَ السَّبْعُ الْمَثَانِى وَالْقُرْآنُ الْعَظِيمُ الَّذِى أُوتِيتُهُ
‘Mahukah aku ajarkan engkau surah yang paling agung dalam al-Quran sebelum engkau keluar masjid ini?’ Lalu baginda memegang tanganku, maka ketika kami hendak keluar, aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau mengatakan: Aku akan mengajarkanmu surah yang paling agung dalam al-Quran?’ Baginda menjawab, ‘Alhamdulillahi rabbil ‘alamin (yakni al-Fatihah), ia adalah Sab’ul Mathani, dan ia adalah al-Quran al-‘Azim yang telah diberikan kepadaku’.” (Riwayat Bukhari, Abu Daud, an-Nasaie dll)
- Sab’ul Mathani ialah tujuh (ayat) yang diulang-ulangi terutama dalam setiap rakaat solat, baik yang fardu ataupun yang sunat.
5- AL-FATIHAH IALAH UMMUL QURAN (IBU QURAN)
Telah disebutkan dalam hadis oleh sahabat Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ
مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِأُ الْقُرْآنِ فَهْىَ خِدَاجٌ – ثَلاَثًا – غَيْرُ تَمَامٍ
“Barang siapa yang solat lalu tidak membaca Ummul Qur’an (iaitu al-Fatihah), maka solatnya kurang (tidak sah) – Baginda mengulanginya tiga kali – maksudnya tidak sempurna.” (Riwayat Muslim)
6- AL-FATIHAH WAJIB DIBACA DALAM SOLAT
Telah berkata sahabat ‘Ubadah bin Samit RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
“Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca Fatihatul Kitab (al-Fatihah).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berhubung dengan ini Imam Syafie berkata:
وَلَا يُجْزِئُ الرَّجُل أَنْ يحْرِمَ لِلصَّلَاة بِقَلْبِهِ ، وَلَا يَقْرَأ بِقَلْبِهِ حَتَّى يُحَرِّكَ لِسَانَهُ
“Tidak sah bagi seorang lelaki (atau wanita) mengangkat takbiratulihram untuk solat melalui hatinya dan tidak sah pula dia membaca (al-Fatihah) melalui hatinya sehinggalah dia menggerakkan lidahnya.” (Rujuk Mukhtasar al-Buwaithi, 244)
- Berkata Imam al-Nawawi: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefarduan dan rukun yang mana tidak boleh diterjemahkan kepada bahasa selain daripada bahasa Arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu atau solat sunat.” (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 3/283)
- Manakala berkaitan bacaan makmum ketika bersama imam, Imam Nawawi berkata:
وَاَلَّذِي عَلَيْهِ جُمْهُورُ الْمُسْلِمِينَ الْقِرَاءَةُ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي السِّرِّيَّةِ وَالْجَهْرِيَّةِ
“Jumhur umat Islam berpendapat wajib membaca al-Fatihah di belakang imam sama ada pada solat Sirr (perlahan) atau Jahr (kuat)”. (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 3/365)
- Khusus bagi mereka yang tidak mampu membaca surah al-Fatihah, hendaklah digantikan dengan membaca surah-surah lain yang juga dalam bahasa Arab. (Rujuk Hasyiyah al-Baijuri, 1/290. Juga al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/255)
- Bagi yang tidak mampu membaca apa-apa sekalipun, hendaklah dia berdiri sekadar waktu membaca surah al-Fatihah. (Rujuk Hasyiyah al-Baijuri, 1/290)
7- KELEBIHAN BASMALAH
Basmalah ialah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ). Ia juga disebut sebagai “basmal” atau disebut “basmalah”. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/83)
Baginda Nabi SAW memerintahkan umat supaya dalam melakukan setiap perkara hendaklah dimulai dengan membaca Basmalah. Nabi SAW bersabda:
كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدَأُ فيهِ ببسمِ اللهِ الرحمنِ الرحيم فهو أقْطَعُ
“Setiap perkara yang tidak dimulai dengan Bismillahirrahmanirrahim, maka amalan tersebut akan terputus.” (Riwayat Ibnu Majah)
- Imam Nawawi berkata, maksud terputus dalam hadis ini ialah kurangnya keberkatan dalam perbuatan. Para ulama mengatakan, disunatkan memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan perkara-perkara yang lain yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/73)
8- KEPENTINGAN TA’AWWUZ ATAU ISTI’AZAH
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 98:
فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
“Apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang direjam”. (an-Nahl 16:98)
- Imam Nawawi berkata: “Sebaiknya seorang pembaca al-Qurân selalu membaca bismillâhir rahmânir rahîm pada awal setiap surah kecuali surat Barâ’ah (at-Taubah), kerana majoriti ulama berpendapat bahawa basmalah itu merupakan satu ayat”. (at-Tibyân fî Adâbi Hamalatil Qur’ân, hlm. 86, karya Imam Nawawi, tahqîq Abu `Abdillâh Ahmad bin Ibrâhîm al-‘Ainain)
- Namun jika dibaca tidak dari awal surah, maka cukup dengan taawwuz Di dalam ceramah atau khutbah, taawwuz cukup sekali pada pembacaan ayat yang pertama. Kerana Nabi SAW ketika membaca ayat-ayat al-Qurân dalam khutbah-khutbah, baginda langsung membaca ayatnya, tanpa taawwuz dan basmalah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Membaca taawwuz itu hukumnya sunnah. Imam Nawawi berkata: “Sesungguhnya taawwuz itu hukumnya mustahab (disukai), tidak wajib, dan ia mustahab untuk setiap pembaca al-Qurân, baik dalam solat atau di luarnya”. (at-Tibyân fî Adâbi Hamalatil Qur’ân, hlm. 85, seperti di atas)
- Antara bentuk ucapan taawwuz atau isti’azah ini ialah أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ Berkata Imam Ibn Kathir: Isti’azah ialah meminta pertolongan iaitu aku memohon kepada Allah perlindungan-Nya tanpa bantuan selain daripada-Nya, daripada kemudaratan syaitan ke atas diriku dan agamaku, dan daripada dia memalingkan aku daripada kebenaran. (Rujuk Tafsir Al-Quran Al-Azhim, Ibn Kathir, 1/16)
Tulisan / Nukilan:
Dato Dr. Danial Zainal Abidin,
Georgetown, Penang, Malaysia.
16/2/2023
- Mohon catatkan rujukan laman web ini bagi bahan yang diambil daripada laman ini. Terima kasih.